PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) wajar mensyaratkan semua pasukan yang bertanding dalam Liga Super musim depan menyediakan wang cagaran bagi mengelak berlaku masalah tunggakan gaji pemain.
Penganalisis bola sepak, Mohd. Sadek Mustaffa berkata, wang cagaran mestilah mengikut kitaran atau purata pembayaran gaji untuk tempoh tiga hingga empat bulan yang dianggarkan berjumlah RM4 juta hingga ke RM5 juta.
Katanya, langkah tersebut sebagai jaminan dengan MFL bertindak selaku pemegang amanah kelab dan menggunakan wang cagaran tersebut untuk membayar gaji pemain jika kelab berdepan masalah kewangan.
“Saya ada beritahu MFL mereka (pasukan) kena letak duit cagaran atau macam simpanan tetap. Bukannya RM1 juta sahaja, tetapi kena tengok kitaran gaji selama tiga hingga empat bulan untuk dijadikan cagaran.
“Jika berlaku masalah tunggakan gaji, MFL boleh gunakan wang cagaran ini untuk selesaikan gaji pasukan yang terbabit. Cadangan ini mungkin boleh menjadi penyelesaian terbaik bagi mengelak isu gaji berulang setiap tahun.
“Jika kita mahu MFL berkeras dalam soal lesen kebangsaan, kita boleh jangka sendiri berapa kerat sahaja pasukan yang akan lulus dengan keadaan semasa yang kita tahu ada pasukan bermasalah isu gaji,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ketika ini, ada beberapa pasukan berdepan isu tunggakan gaji pemain dan masalah itu telah menjejaskan kualiti permainan kerana pemain tidak mempamerkan aksi sebenar.
Ditanya sama ada kaedah memperkenalkan had gaji siling pemain mampu mengelak masalah tunggakan gaji, Mohd. Sadek berkata, perkara itu tidak akan menyelesaikan masalah jika ada pemain yang mempunyai kontrak berganda dengan kelab.
“Ketelusan kena ada dalam hal ini, jika ada mana-mana pasukan yang berbuat demikian, mereka sebenarnya telah menipu dalam aspek pembayaran cukai pendapatan dan caruman. Perkara ini, salah dan boleh dipenjara dan denda.
“Jadi, ukurlah baju di badan sendiri dalam berbelanja. Jika kelab mengharapkan kedatangan penyokong ke stadium untuk mengisi kantung kewangan kelab, ia sebenarnya tidak membantu dan hanya 20 peratus sahaja dari situ.
“MFL juga mungkin ada formula lain, contohnya jadikan Liga Super seperti Liga Perdana Inggeris (EPL), berikan ganjaran lebih besar kepada ranking enam terbaik. Secara tidak langsung, pasukan akan bersaing untuk meraih ganjaran lebih besar,” katanya.
Sebelum ini, MFL telah mengumumkan sistem pengagihan kepada 14 kelab Liga Super 2023 yang menyaksikan berlaku peningkatan lebih 96.55 peratus iaitu RM15.675 juta berbanding RM7.975 juta yang diagihkan kepada 14 kelab yang sama musim lalu.
Berdasarkan jumlah habuan itu, juara Liga Super musim ini akan menerima durian runtuh berjumlah RM2.4 juta, manakala lima lagi pasukan dalam kelompok enam teratas akan menerima sekurang-kurangnya RM1 juta.
Malah, pasukan yang menduduki kedudukan paling rendah juga mampu membawa pulang sekurang-kurangnya RM600,000 berbanding hanya RM250,000 pada tahun lalu. – UTUSAN










