Tuduh Anwar dajal kecil provokasi melampau - AMK Johor - Utusan Malaysia

Tuduh Anwar dajal kecil provokasi melampau – AMK Johor

MOHD. TAUFIQ ISMAIL (tengah) menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat terhadap Che'gu Bard di IPD Johor Bahru Selatan, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tindakan menggelar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘dajal kecil’ disifatkan sebagai provokasi melampau yang berniat melaga-lagakan rakyat.

Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Mohd. Taufiq Ismail berkata, kenyataan Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin itu disifatkan satu fitnah berat yang berniat mencemar imej dan reputasi Perdana Menteri.

Beliau yang juga Ketua AMK Johor menegaskan, kenyataan Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Che’gu Bard yang menyentuh isu kaum, agama dan institusi diraja (3R) itu boleh mencetuskan salah faham, perbalahan dan ketegangan dalam kalangan umat Islam. 

“Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keharmonian dan keamanan, saya amat marah dan beranggapan agama pada hari ini ditunggang secara berleluasa dan sewenang-wenangnya oleh puak-puak yang tidak bertangggungjawab demi menyebarkan kebencian.

“Selepas melihat video itu saya mendapati terdapat unsur seperti kenyataan berbaur hasutan yang bertujuan untuk mencetuskan provokasi supaya berlaku perbalahan dan ketegangan dalam kalangan penganut agama di Malaysia.

“Tidak dinafikan isu ini juga digunakan untuk meraih undi dan sokongan dalam kempen PRK (Pilihan Raya Kecil) Parlimen Kemaman yang sedang berlangsung ketika ini. Ia dibimbangi akan dijadikan modal kempen politik bukan sahaja oleh Che’gu Bard, malah juga pemimpin PN (Perikatan Nasional) lain,” katanya selepas membuat laporan terhadap Che’gu Bard di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, di sini malam tadi.

Ahad lalu, Che’gu Bard menggelar Anwar sebagai ‘dajal kecil’ ekoran kegagalan wakil rakyat PN memperoleh peruntukan kawasan Parlimen dalam satu ceramah semasa kempen PRK Kemaman di Markas UDM Dadong, Kampung Tebak Batu 16, Kemaman.

Anwar sebelum ini mahukan blok pembangkang tersebut berunding dengan blok kerajaan yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Mengulas lanjut, Mohd. Taufik mempersoalkan golongan agamawan yang masih tidak bersuara menegur Che’gu Bard yang dilihat terus memburukkan keadaan kerana isu tersebut masih lagi hangat.

Sementara itu, Naib Ketua AMK Johor,  Muhammad Faezuddin Mohd. Puad berkata, perbuatan Che’gu Bard itu perlu dibendung kerana tidak mahu perkara berkaitan agama seperti isu tersebut dimainkan tanpa ada rasa bersalah atau bertanggungjawab.

Katanya, tindakan tegas wajar diambil dan bukan kerana kerajaan Madani tidak boleh ditegur, sebaliknya kritikan perlu berasas dan membina. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.