Tiga lelaki  Bangladesh maut tertimbus  - Utusan Malaysia

Tiga lelaki  Bangladesh maut tertimbus 

SEORANG penduduk menunjukkan lokasi ketiga-tiga mangsa tertimbus runtuhan tanah di tapak projek pembinaan lebuh raya di Kampung Maka, Pulai Chondong, Machang, Kelantan hari ini-UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Tiga warganegara Bangladesh maut selepas tertimbus dalam  runtuhan tanah ketika  bekerja di tapak projek pembinaan lebuh raya di Kampung Maka, Pulai Chondong di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 12 tengah hari itu, ketiga-tiga lelaki berusia 30-an itu disedari  tertimbus sedalam  10 meter oleh tiga pekerja lain yang membina tapak untuk pemasangan pembetung.

Seorang saksi  yang juga penduduk Kampung Maka, Anis Ashikin Ariffin, 29,  berkata, dia terdengar beberapa pekerja meraung dan menjerit meminta pertolongan daripada pemandu jengkaut sebaik melihat tiga mangsa mangsa tertimbus tanah.

Menurutnya, dia yang sedang memasak terus bergegas untuk melihat keadaan yang berlaku di tapak pembinaan itu.

“Saya melihat beberapa orang pekerja kelam-kabut membantu menggali tanah dengan  menggunakan jengkaut untuk menyelamatkan mangsa-mangsa.

“Selang beberapa minit kemudian, anggota polis dan bomba tiba di lokasi yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah saya,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd. Adli Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, ketiga-tiga mangsa berjaya dikeluarkan pukul 4 petang  sebelum dihantar ke Hospital Machang di sini untuk proses bedah siasat. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN