LONDON: Tottenham Hotspur turun dengan misi wajib menang dalam aksi menentang Wolverhampton Wanderers dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) malam ini untuk kembali ke puncak liga.
Segala-galanya terletak di tangan anak-anak buah Ange Postecoglou kerana mereka akan bermain terlebih dahulu berbanding pendahulu liga Manchester City yang akan beraksi pada Isnin menentang Chelsea.
Magis Postecoglou sekali lagi diharapkan malam ini selepas dia mengubah nasib Tottenham sepanjang tiga bulan pertama sebagai pengurus tetapi dia berdepan ujian besar saingan EPL yang semakin sengit.
Selepas tewas mengejut 1-4 di tangan Chelsea Selasa lalu, kunjungan ke Wolves dianggap satu lagi peluang untuk Tottenham mengukuhkan reputasi selaku pencabar kejuaraan liga.
Namun, kekalahan kali pertama dialami Postecoglou dalam saingan EPL musim ini bukan sahaja menggagalkan misi melonjak ke tangga teratas malah menyebabkan empat pemain utama mereka terpaksa diketepikan.
Mereka kehilangan pertahanan tengah Cristian Romero yang menerima kad merah manakala Micky van de Ven mengalami kecederaan hamstring.
Destiny Udogie turut dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua dan James Maddison turut dibawa keluar selepas mengalami kecederaan buku lali manakala penyerang, Richarlison selamat menjalani pembedahan pangkal paha dan hanya kembali beberapa minggu lagi.
Namun, penyokong Tottenham yakin pasukan mereka akan bangkit berdasarkan tentangan sengit ditunjukkan walaupun beraksi sembilan pemain ketika menentang Chelsea.
“Kita bergantung kepada pemain yang sedia ada untuk perlawanan menentang Wolves, namun saya percaya mereka mampu beraksi dengan baik dan membantu pasukan untuk mencari tiga mata penting untuk kembali ke puncak liga.
“Tiada perubahan posisi, namun kita akan melihat kepada taktikal permainan yang lebih positif. Kita juga mengharapkan pemain lebih kreatif dan tidak mensia-siakan peluang di depan gawang,” kata Postecoglou
Selepas berkunjung ke Wolves, Spurs akan menentang Aston Villa di tempat sendiri sejurus tamat rehat aksi antarabangsa dan kemudiannya menentang Manchester City di tempat lawan, tiga perlawanan yang menguji kemampuan Tottenham mengekalkan kedudukan empat teratas.
Pasukan di tangga keempat Arsenal melayan kunjungan Burnley malam ini manakala Liverpool yang menduduki tangga ketiga akan menentang Brentford di Anfield esok. – AGENSI/UTUSAN