KOTA BHARU: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan hari ini membuat laporan polis ke atas Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard yang menyamakan Perdana Menteri , Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai jelmaan Dajjal.
Ketuanya, Mohamad Ezzat Zahrim Mohd. Hanuzi berkata, kenyataan dikeluarkan Chegubard terhadap Anwar sebagai satu tuduhan yang berat dan tidak sepatutnya dikeluarkan serta boleh dianggap sebagai suatu isu cukup serius.
Menurutnya, pada masa sama tuduhan itu boleh dianggap sebagai tindakan menggunakan agama untuk mempengaruhi golongan muda yang sememangnya mudah terpengaruh dengan perkara-perkara tidak sepatutnya.
“Bagi saya ia merupakan cara berkempen yang tidak profesional dan sesuatu yang boleh merosakkan akhlak masyarakat terutamanya golongan muda.
“Tujuan laporan polis dibuat adalah untuk mengelakkan berlaku perpecahan antara kaum serta permusuhan dalam kalangan masyarakat. Kami bimbang ucapan itu boleh merosakkan fahaman generasi muda akan datang,” kepada pemberita ketika ditemui di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Mohammad Ezzat Zahrimmemberitahu, AMK Kelantan berharap pihak polis akan mengambil tindakan segera dalam perkara ini bagi mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini.
“Bagi saya ia sememangnya isu yang cukup besar. Dajjal! Sedap-sedap kata orang Dajjal. Seolah-olah mu syurga, aku neraka…mu tu setara mana?
“Saya harap rakyat Malaysia tak kira ahli politik atau rakyat biasa, kena bijak dan profesional serta jangan mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya. Politik kebencian ini harus kita elakkan dan saya yakin orang muda hari ini bijak menilai,” ujarnya.
Pada 29 November lalu Chegubard telah mengeluarkan kenyataan menyamakan Anwar sebagai jelmaan Dajjal ketika berucap pada program Ceramah Perdana Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman di Markas Unit Daerah Mengundi (UDM) Pekan Kerteh, Terengganu.-UTUSAN