KUALA LUMPUR: Masalah kanak-kanak bantut kerana tidak mendapat nutrisi secukupnya membimbangkan ekoran semakin ramai ibu bapa memilih membeli makanan murah.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, bukan itu sahaja ibu hamil juga tidak mengambil nutrisi yang baik dan dari situ memberi kesan terhadap bayi dilahirkan sehingga ada yang terbantut tumbesaran.
Selain itu, katanya, keengganan mengikut jadual rawatan dan menganggap kanak-kanak gempal sebagai comel juga menyumbang kepada masalah bantut.
“Saya juga agak bimbang dengan keadaan harga, kos kehidupan yang semakin meningkat… seperti barang keperluan yang membabitkan nutrisi, harganya meningkat.
“Ini akan menyebabkan ibu bapa memilih untuk mendapatkan makanan yang murah, dan ibu sedang hamil juga tidak mengambil nutrisi yang terbaik bagi memastikan anak dilahirkan dengan sihat serta tidak berbantut,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, bantut memberi kesan agak besar dan kumpulan tersebut terdedah dengan penyakit seperti obesiti seterunya menyebabkan produktiviti tumbesaran anak-anak berkenaan terjejas.
Kata Lukanisman, jika kumpulan kanak-kanak ramai yang terbantut, produktiviti negara pada masa akan datang juga akan terjejas.
TERPINGGIR
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad [PH-Kuala Selangor] mengenai sejauh mana ukuran kumpulan yang agak terpinggir supaya kerajaan dapat menangani masalah bantut dengan baik.
Lukanisman turut mendedahkan ada pengusaha kantin di sekolah tertentu yang menyediakan menu sosej dan nasi melalui program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) menyaksikan murid berkenaan sepatutnya disajikan makanan berkhasiat.
Katanya, isu nutrisi bukan saja dihadapi keluarga berpendapatan rendah (B40), malah berlaku dalam kalangan keluarga T20 sehingga terdapat anak-anak daripada golongan isi rumah berkenaan juga mengalami masalah bantut.
“Dalam rekod pada lima tahun lalu, berlaku masalah bantut di tiga negeri tertinggi seperti Kelantan dan juga Putrajaya termasuk dalam senarai tiga teratas.
“Populasi Putrajaya adalah kebanyakan golongan yang mempunyai pendidikan. Golongan ini juga mengambil langkah mudah kerana kesibukan dan pembinaan kerjaya lebih meluas. Jadi dari segi pemilihan makanan, makanan segera sering diberi kepada anak mereka,” katanya.- UTUSAN