KUALA LUMPUR: Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan kira-kira 15 kes pelaburan tidak wujud disiasat setiap hari oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).
Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sebanyak 4,435 kertas siasatan kes pelaburan tidak wujud yang dibuka membabitkan nilai kerugian RM364.5 juta sepanjang tempoh Januari hingga Oktober lalu.
Lebih membimbangkan, menurut beliau, nilai kerugian membabitkan kes pelaburan tidak wujud bersamaan dengan 20 peratus daripada jumlah kerugian keseluruhan kes jenayah komersial iaitu RM1.82 bilion yang direkodkan untuk tempoh sama
“Kes pelaburan tidak wujud dikategorikan kepada dua modus operandi utama iaitu pelaburan dalam talian (online) dan pelaburan secara bersemuka.
“Pelaburan online merujuk kepada kaedah pelaburan yang menggunakan media sosial seperti Telegram, WhatsApp, Facebook, Instagram dan sebagainya untuk mencari dan berurusan dengan pelabur.
“Manakala bagi pelaburan secara bersemuka, pelabur akan berjumpa dan berurusan secara terus dengan ejen mahupun wakil syarikat yang menguruskan pelaburan terbabit,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di Jalan Tun Razak di sini hari ini.
PELABURAN
Menurut beliau, sebanyak 4,051 kes daripada 4,435 kes pelaburan tidak wujud dibuat melalui dalam talian manakala bakinya, 384 kes adalah pelaburan secara bersemuka.
“Secara perbandingan, kes pelaburan tidak wujud yang dicatatkan bagi Januari hingga Oktober tahun ini merekodkan peningkatan 1,557 kes, bersamaan 54.1 peratus berbanding tempoh sama tahun 2022.
“Jumlah kerugian yang turut merekodkan peningkatan sebanyak RM176.2 juta atau 93.6 peratus,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ramli berkata, analisis mendapati kebanyakan mangsa adalah dalam kalangan mereka yang berusia antara 31 hingga 40 tahun.
“Dapatan itu berdasarkan jumlah laporan polis diterima sepanjang Januari hingga Oktober lalu yang menunjukkan 1,099 laporan polis diterima daripada mangsa dalam kategori umur berkenaan.
“Jumlah kes membabitkan kategori lain pula, 15 hingga 20 tahun (124 kes), 21 hingga 30 tahun (835 kes), 41 hingga 50 tahun (953 kes), 51 hingga 60 tahun (815 kes) dan 60 tahun ke atas (609 kes).
“Justeru, mereka yang berada dalam lingkungan umur 41 hingga 50 tahun dinasihatkan untuk berhati-hati apabila melakukan urusan berkaitan pelaburan,” katanya.
Menurut Ramli, seramai 1,880 kes terdiri daripada mangsa yang bekerja di sektor swasta diikuti diikuti penjawat awam (298 kes), bekerja sendiri (390 kes), suri rumah (762 kes), pesara (514 kes) dan tidak bekerja (592 kes).
“Sebanyak 540 kes atau 12 peratus kes sudah berjaya dituduh di mahkamah setakat ini,” katanya. – UTUSAN