Pesta Loy Krathong: Kerajaan negeri serah kepada ketua jajahan putus hukuman

Pesta Loy Krathong: Kerajaan negeri serah kepada ketua jajahan putus hukuman

Hilmi Abdullah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyerahkan kepada Ketua Jajahan Bachok, Shamsul Abu Bakar untuk menentukan bentuk hukuman keatas pihak penganjur pesta Loy Krathong di Wat Pathumviharn selepas gagal mematuhi syarat permit penganjuran program.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, sehingga kini  pihaknya masih menunggu maklum balas berkait perkara tersebut.

“Kita serah kepada beliau (Shamsul) selaku pegawai pelesen untuk membuat keputusan sama ada mahu mengenakan kompaun atau sekadar memberi amaran kepada pihak penganjur.

“Kerjaaan Negeri akan bersetuju dengan apa sahaja keputusan daripada beliau nanti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil itu memberitahu, Kerajaan Negeri telah mewartakan ketua jajahan di setiap daerah sebagai pegawai pelesen yang mempunyai kuasa untuk meluluskan lesen atau permit bagi penganjuran sesebuah program.

Katanya, setiap permohonan untuk penganjuran program perlu mendapat kelulusan pegawai pelesen lebih dahulu selepas mendapat sokongan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), penghulu, Majlis Daerah dan Pegawai Agama Jajahan.

“Dalam kes ini, kesemua pihak berkenaan telah memberi sokongan kerana program melibatkan amalan kebudayaan dan keagamaan serta dikhususkan untuk penganut agama Buddha sahaja.

“Cuma berlaku pelanggaran semasa penganjuran program dan ia sebenarnya tidak besar serta berlaku di luar kawalan. Bagi pihak kerajaan negeri ia bukan pelanggaran syarat yang besar tetapi diperbesarkan,” ujarnya.

Hilmi berkata, pesta Loy Krathong adalah acara tahunan bukan sahaja di Bachok malah di seluruh negara yang mempunyai masyarakat etnik Thai dan sepanjang 33 tahun Pas mentadbir Kelantan sambutan itu memang diadakan di negeri ini.

“Sebenarnya isu ini timbul selepas ada aduan dan kenyataan media Ketua Wanita Keadilan Kelantan, Nor Azmiza Mamat yang mendakwa program itu tiada permit serta terdapat video berdurasi 30 saat yang ditularkan.

“Ia sebenarnya sebuah program tertutup bagi penganut agama Buddha dan berlangsung selama tiga hari dengan pengisian pameran kebudayaan serta bacaan kitab Buddha, ceramah kesedaran dan sebagainya. Malah sudah ada papan tanda larangan masuk untuk orang Islam,” katanya.

Hilmi berkata, penganjuran konsert pada hari terakhir sambutan Loy Krathong pula adalah untuk menggalakkan golongan muda beragama Buddha mendekati wat di samping mengumpul dana untuk membesarkan balai sembahyang di dalam wat Pathumviharn.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Kerajaan Kelantan menjelaskan Pesta Loy Krathong di Bachok pada Jumaat lalu yang turut menyelitkan penganjuran konsert melibatkan penampilan penyanyi dari Thailand mempunyai permit sah daripada pihak berkuasa tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, bagaimanapun wujud pelanggaran beberapa peraturan atau syarat yang ditetapkan semasa penganjuran pesta dan konsert tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya