Perhilitan Kelantan pernah terima aduan ancaman harimau di ladang Kampung Kuala Tol

Perhilitan Kelantan pernah terima aduan ancaman harimau di ladang Kampung Kuala Tol

ANCAMAN harimau di Gua Musang, Kelantan semakin serius muktakhir ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan pernah menerima aduan kehadiran harimau belang di kebun getah persendirian di Kampung Kuala Tol di sini, minggu lalu.

Kebun getah itu merupakan lokasi seorang lelaki warga Indonesia ditemui maut dalam keadaan mengerikan akibat dibaham harimau semalam.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, aduan mengenai kehadiran harimau belang itu diterima pihaknya melibatkan kawasan kebun getah persendiran itu pada 20 November lalu.

Menurutnya, tindakan siasatan di lokasi aduan telah dilakukan oleh kakitangan jabatan pada tarikh yang sama selain khidmat nasihat diberikan kepada pekerja supaya membersihkan kawasan kebun yang bersemak samun dan keluar bekerja secara berkumpulan.

“Haiwan liar yang menyerang seorang pekerja ladang getah warga Indonesia di kawasan ladang getah Kampung Kuala Tol di sini semalam disahkan merupakan spesis harimau belang (Panthera Tigris Jacksoni).

“Pengesahan spesis haiwan itu berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh anggota Perhilitan selepas mayat mangsa dibawa keluar oleh anggota polis dari lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Mohamad Hafid memberitahu, sehubungan itu, Perhilitan Kelantan sudah memasang 10 perangkap harimau dan perangkap kamera di kawasan hot spot aduan gangguan harimau belang di daerah ini bagi mengelakkan haiwan itu menyerang penduduk setempat.

Katanya, semua perangkap adalah aktif dan dipantau setiap hari oleh kakitangan jabatan. 

“Semua pemilik dan pekerja ladang atau kebun dinasihatkan supaya membersihkan semak samun, sentiasa berhati-hati, bekerja secara berkumpulan dan tidak membuat sebarang provokasi sekiranya terserempak haiwan liar,” ujarnya.

Utusan Online semalam melaporkan, ancaman harimau di Gua Musang semakin serius apabila seorang lelaki warga Indonesia menjadi mangsa ketiga yang maut dibaham haiwan dalam tempoh tiga minggu selepas mayatnya ditemui dalam mengerikan di kawasan ladang getah Kampung Kuala Tol, di sini hari ini.

Mangsa yang dikenali sebagai Syabaini, 36, dijumpai dengan anggota tubuh badan yang tidak sempurna apabila kehilangan tangan kanan, cedera pada bahagian leher dan kedua-dua ibu jari kaki.

Sebelum itu, dua lelaki maut dibaham harimau dalam tempoh 48 jam membabitkan seorang lelaki warga Indonesia dan lelaki Myanmar.

Mangsa pertama merupakan warga Indonesia, Lalu Sukarya Yahya, 42, ditemui maut pukul 10 pagi pada 10 November lalu di Kampung Meranto di Gua Musang.

Keesokan harinya, seorang lelaki warga Myanmar, Ahka Soe Ya, 22, maut akibat diserang pak belang kira-kira pukul 1.30 tengah hari ketika menoreh getah di Ladang Meranto.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya