Pemandu lori didakwa cabul pelajar IPT - Utusan Malaysia

Pemandu lori didakwa cabul pelajar IPT

MUHAMMAD Amsyar Mohd. Ali (kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini bagi didakwa atas pertuduhan mencabul dan mencuri dalam kejadian pada 6 November lalu di sebuah rumah di Taman Seremban 3, Seremban.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan mencabul seorang pelajar perempuan sebuah institut pengajian tinggi (IPT) dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Seremban 3 di sini pada 6 November lalu.

Tertuduh, Muhammad Amsyar Mohd. Ali, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Majistret, Nurul Saqinah Rosli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 6 November lalu, lebih kurang pukul 4 pagi di Taman Seremban 3 di sini didakwa telah menggunakan kekerasan terhadap seorang wanita dengan maksud mencabul kehormatan.

Oleh itu, dia telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang jika didapati bersalah boleh dihukum penjara selama tempoh sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebat.

Dalam pada itu, Muhammad Amsyar pada tarikh, lokasi dan waktu yang sama, turut dituduh melakukan perbuatan mencuri harta iaitu sebuah telefon bimbit bernilai RM1,000 milik mangsa yang sama.

Oleh itu, dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman denda atau sebat.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi manakala tertuduh diwakili oleh peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Roslaili Alias.

Majistret kemudian menetapkan jaminan RM2,500 bagi pertuduhan pertama dan RM2,000 bagi pertuduhan kedua dengan syarat tambahan tertuduh tidak dibenarkan menganggu mana-mana saksi pendakwaan sehingga kes selesai. Sebutan semula kes ditetapkan pada 3 Januari depan.

Semalam Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner, Arifai Tarawe berkata, seorang lelaki telah ditangkap pada 24 November lalu di Taman Bukit Chedang, Fasa 2 di sini susulan kejadian seorang pelajar wanita sebuah universiti tempatan yang berusia 21 tahun diraba ketika sedang tidur di rumahnya di Taman Seremban 3 di sini.

Beliau memberitahu, hasil siasatan lanjut mendapati lelaki berkenaan mempunyai 13 rekod lampau iaitu lima kes dadah dan lapan kes jenayah.-UTUSAN.

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.