PORT DICKSON: Sebanyak 38,200 liter minyak diesel bernilai RM82,130 dirampas dalam serbuan Op Tiris di sebuah jeti persendirian yang terletak di Pasir Panjang, di sini pada 11 November lalu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, minyak diesel berkenaan telah dirampas Pasukan Biro Jenayah Hidupan Liar/ Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman.
Katanya, kes kemudiannya telah diserahkan kepada pasukan penguat kuasa KPDN Port Dickson telah di lokasi kejadian.
Jelas beliau, turut dirampas dalam serbuan tersebut adalah sebuah buah lori tangki berkapasiti 40,000 liter, dua unit pam bermeter berserta hos, dua unit motor pam beserta hos serta sebuah kapal jenis tanker (MT Aliya Sari) yang menjadikan nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM782,100.
“Tiga orang lelaki warga tempatan dan lima orang lelaki warga asing yang merupakan pekerja di atas kapal, pemandu lori dan pekerja di jeti tersebut telah ditahan untuk siasatan lanjut kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Ketika serbuan dilakukan, didapati sedang berlakunya aktiviti pemindahan minyak diesel yang disyaki bersubsidi dari lori tangki ke atas kapal MT Aliya Sari yang berada di jeti dalam kawasan premis tersebut.
“Pemeriksaan menyeluruh oleh pasukan serbuan ke atas kapal mendapati terdapat empat orang pekerja yang kemudiannya mengaku sebagai pekerja berada di atas kapal tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Muhammad Zahir, satu kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut termasuklah sumber minyak diesel ini diperoleh dan diedarkan.-UTUSAN.