Mengapa Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia Parlimen jumpa peguam bela Zahid Hamidi? - Utusan Malaysia

Mengapa Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia Parlimen jumpa peguam bela Zahid Hamidi?

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi akan menjemput barisan peguam pembelaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi mendapatkan pandangan berhubung pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Pengerusinya, William Leong Jee Keen dalam kenyataan berkata, pihaknya juga akan menjemput Peguam Negara (Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh) dan bekas Peguam Negara (tidak dinamakan) bagi mendapatkan pandangan berhubung perkara sama.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan secara terperinci hubung kait atau alasan menjemput barisan peguam pembelaan Presiden UMNO itu dalam membincangkan pemisahan kedua-dua peranan badan berkenaan.

Pada 4 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan jenayah membabitkan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya prosiding bagi kesemua pertuduhan terhadap Ahmad Zahid dihentikan.

Mengulas lanjut, William berkata, jawatankuasa itu telah menjalankan prosiding pertamanya pada 26 Oktober 2023, bertujuan memahami keperluan pengasingan kuasa dan memberi cadangan kepada kerajaan berkaitan penambahbaikan kepada undang-undang sedia ada.

Katanya, asas yang diteliti oleh jawatankuasa dalam prosiding yang dijalankan menerusi dua sesi itu, antaranya alasan-alasan pemisahan peranan Pendakwa Raya daripada Peguam Negara.

Ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang mana Peguam Negara adalah Penasihat Kerajaan di bawah Perkara 145(2) dan sebagai Pendakwa Raya di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Jawatankuasa juga memahami masalah dan cabaran bagi pemisahan peranan kedua-duanya dan model yang sesuai untuk diamalkan di Malaysia dan;

“Cadangan-cadangan kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain yang berkaitan jika pemisahan kuasa tersebut dijalankan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, jawatankuasa akan mengadakan perjumpaan bersama Badan Peguam Malaysia; Sabah Law Society; The Advocates Association of Sarawak; Pengamal Undang-Undang Jenayah; Jabatan Peguam Negara, Jabatan Perdana Menteri dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri.

WILLIAM LEONG JEE KEEN

Jawatankuasa itu telah berjumpa dengan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) – Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR); Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).

Isu DNAA Ahmad Zahid pernah mencetuskan pertikaman lidah dalam mesyuarat Dewan Rakyat pada September lalu menyaksikan Ahli Parlimen pembangkang tidak berpuas hati selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul didakwa menolak usul tergempar dikemukakan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bagi memberi laluan kepada Peguam Negara menjelaskan keputusan DNAA Ahmad Zahid.

Bagaimanapun, Johari menjelaskan ‘ruang dan peluang’ yang dimaksudkan kepada pembangkang untuk bercakap mengenai kes Ahmad Zahid di Dewan Rakyat tidak terhad kepada tempoh waktu tertentu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya