Malaysia akan bertindak terhadap pembiaya Sulu - Utusan Malaysia

Malaysia akan bertindak terhadap pembiaya Sulu

AZALINA OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap firma penyedia dana Therium kepada lapan individu yang mendakwa waris kesultanan Sulu untuk membuat tuntutan mengarut ke atas Malaysia.

Pada November dan Disember ini terdapat dua pendengaran penting kes tuntutan waris Sulu dan selepas pendengaran itu, Malaysia akan mengambil tindakan ke atas firma Therium dari Amerika Syarikat yang menaja kumpulan Sulu,

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tuntutan Sulu itu berlaku apabila ada penaja daripada firma Therium.

“Saya nak tekan di sini ialah apa yang sebenarnya berlaku ke atas negara kita dalam kes ini ialah mereka ini keturunan Sulu ini mengambil kesempatan daripada beberapa perkara yang berlaku di peringkat antarabangsa.

“Pertama sekali ialah apa yang disebut pembiayaan litigasi pihak ketiga. Ini satu budaya di Amerika Syarikat (AS) yang sudah 20 tahun wujud tetapi dia telah masuk ke Eropah dan di United Kingdom (UK) juga,” kata beliau ketika ditemui kelmarin.

Menurut beliau, tindakan itu hanya akan diambil setelah selesai semua kes melibatkan tuntutan Sulu di empat negara iaitu Belanda, Perancis, Luxembourg dan Sepanyol.

“Nama pembiaya, Therium semua orang tahu. Kita kena ambil tindakan ke atas dia orang, tetapi kita hanya boleh ambil tindakan selepas kes ini habislah.

“Apa yang agak menjadi kemudaratan kepada Malaysia ialah pembiaya dia banyak duit dan apabila ditanya soalan semua dia tak nak jawab,” kata­nya ketika temu bual eksklusif dengan Utusan Malaysia.

Beliau berkata, tindakan undang-undang tidak akan dibuat secara serentak dengan kes tuntutan Sulu kerana hendak pergi ke mahkamah antarabangsa semuanya akan melibatkan kos yang banyak sedangkan nilai mata wang ringgit tidak begitu besar pada waktu sekarang ini.

TUNTUTAN

“Harapan saya insya-Allah tahun depan kita boleh (selesaikan) kes tuntutan Sulu. Sekarang dia ada empat negara itu yang dia sudah pergi, ini yang akan menjadi fokus kita. Insya-Allah dengan kestabilan kerajaan negara kita ini mungkin empat-empat ini kita boleh selesai.

“Bagaimanapun, bila kes terbabit akan berakhir sukar ditentukan kerana bukan Malaysia yang memulakan sebalik­nya negara ini hanya membela diri. Bila kita membela diri, kita kena ikut dia oranglah, pasal dia orang yang membuat (tuntutan),” katanya.

Mengenai tarikh kes terdekat, katanya, adalah pada 6 dan 9 November ini di Perancis kerana pihak Sulu hendak mengemukakan rayuan.

“Pada Disember pula kita ada membuat tuntutan. Kita sudah buat laporan pasal pe­rangai penimbang tara, Dr. Gonzalo Stampa yang telah memberikan award akhir sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) kepada kumpulan itu.

“Itu dekat Madrid, Sepanyol. Mahkamah jenayah nak bicara tentang perangai dia. Harap-harap itu dapat selesai, sebab lepas itu banyak (kes lain) boleh selesai,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN