Majikan guna ranking universiti pilih pekerja - Utusan Malaysia

Majikan guna ranking universiti pilih pekerja

Majikan turut memilih pekerja daripada universiti yang mempunyai ranking baik. -Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hampir semua majikan melihat pena­ra­fan universiti dan Institusi Pe­ngajian Tinggi (IPT) sebelum memilih pekerja yang akan diambil bekerja dalam syarikat ma­sing-masing.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, Presiden Perseku­tuan ma­jikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, majikan secara amnya me­ngambil pekerja berdasarkan reputasi dan ranking universi­ti bagi memastikan mereka me­­­ngambil individu yang bo­leh meningkatkan prestasi dan perniagaan syarikat.

Justeru, menurut beliau, pe­­lajar dari universiti atau IPT yang tidak mendapat ranking baik dalam penarafan antarabangsa selain tiada prestasi ber­depan kesukaran untuk men­dapatkan kerja.

“Nama, reputasi dan ran­king antarabangsa sering dikaitkan dengan peng­iktirafan mengenai kualiti pem­belajaran dan juga kualiti graduan yang belajar di institusi berkaitan.

“Selain mengambil kira ke­dudukan, ranking dan nama uni­versiti sebagai kayu pengu­kur majikan juga melihat ke­pa­da prestasi pembelajaran, ke­terampilan dan kemahiran berkomunikasi.

“Turut diambil kira tahap celik teknologi maklumat (IT) dan prestasi semasa temuduga yang turut menentukan sama ada calon itu diambil kerja atau tidak.

“(Oleh itu), nama dan reputasi sesebuah universiti sahaja tidak boleh dijadikan tiket untuk pelajar mendapat tawaran kerja yang diidamkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

RELEVAN

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan, ranking QS World University Rankings atau penarafan universiti antarabangsa dilihat tidak relevan apabila timbul percanggahan dan ketelusan terhadap penanda aras digunakan.

Ini kerana Institut Antarabangsa Berkaitan Global Universiti Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (UNU) pernah membangkitkan soal ketelusan kaedah dan kualiti data digunakan QS ketika membuat penarafan sesebuah universiti.

Susulan itu, Kementerian Pendidikan Tinggi mengingatkan semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) supaya tidak terlalu taksub dalam mengejar kedudukan atau ranking universiti terbaik peringkat antarabangsa.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ketaksuban itu dilihat boleh menimbulkan persaingan sehingga menyebabkan masing-masing tidak mahu berkongsi kepakaran serta penemuan baharu.

Menurut Khaled, penentuan kedudukan sesebuah IPTA tidak dijadikan sebagai ukuran memandangkan semua universiti diwujudkan dengan tujuan dan matlamat yang berbeza.

MENOLAK

Mengulas lanjut, Syed Hussain berkata, pihaknya tidak menolak penarafan universiti terutamanya di peringkat antarabangsa masih menjadi indikator terutamanya membantu pelajar antarabangsa membuat pilihan bagi menyambung pengajian di Malaysia.

Malah, katanya, pelajar tempatan juga menggunakan penarafan berkaitan untuk memilih universiti yang diidamkan.

“Ada juga kerajaan luar yang menaja pelajar mereka ke Malaysia menggunakan penarafan antarabangsa sebagai penanda aras penting untuk menghantar pelajar mereka ke Malaysia.

“Universiti tempatan yang ingin menarik pelajar antarabangsa belajar di institusi berkenaan, tetapi tidak tersenarai dalam penarafan antarabangsa akan menghadapi kesukaran untuk menarik pelajar antarabangsa serta tempatan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC), Dr. Ahmad Ismail berkata, ranking perlu untuk meletakkan sesebuah universiti berada di tahap mana berbanding dengan universiti-universiti lain di dunia.

Malah, katanya, ranking penting untuk publisiti dan menarik minat pelajar yang baik terutamanya dari luar negara.

“Tetapi tugas universiti bukan semata-mata mengejar ranking tetapi memenuhi keperluan negara dari segi bekalan sumber tenaga manusia peringkat tinggi

“Universiti yang baik secara automatik akan menarik minat pelajar dan kerjasama antarabangsa dan dalam negara.

“Semua universiti perlu melihat pengkhususan masing-masing untuk negara dan membangunkan sumber manusia dalaman.

“Semua pensyarah mesti mengikut keperluan universiti dalam meningkatkan kapasiti yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa samada dari segi pengajaran, penyelidikan, kerjasama industri dan jaringan,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN