PUTRAJAYA: Petisyen bagi mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 bukan bertujuan memburukkan agama Islam mahupun melemahkan kedudukan Mahkamah Syariah.
Sebaliknya, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, petisyen Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman hanya mencabar kompetensi Kerajaan Negeri Kelantan dalam menggubal undang-undang syariah.
Sehubungan itu, Hakim Tengku Maimun menafikan tanggapan sesetengah pihak bahawa Mahkamah Syariah akan terkubur berikutan petisyen yang dikemukakan oleh dua beranak yang mencabar 18 peruntukan undang-undang dalam enakmen tersebut.
“Kami mengambil maklum dan mengambil langkah membuat pemerhatian kerana isu yang dibangkitkan dalam pendengaran ini telah diperkatakan oleh ramai pihak namun ia merupakan versi yang telah diputar belit daripada isu sebenar yang dihujahkan di hadapan mahkamah.
“Isu dalam pendengaran petisyen ini bukan melemahkan agama Islam dan Mahkamah Syariah, tetapi ia adalah berhubung kompetensi kerajaan negeri dalam menggubal undang-undang. Kenyataan bahawa Mahkamah Syariah akan berkubur di Malaysia adalah tidak betul.
“Tanggapan itu salah kerana pendengaran hanya bertujuan mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, bukan merendah-rendahkan enakmen dan melemahkan Mahkamah Syariah,’’ kata Hakim Tengku Maimun ketika memulakan sidang mendengar petisyen itu.
TINDAKAN
Beliau menyatakan demikian ketika menegur tindakan seorang peguam Yusfarizal Yussoff yang mengeluarkan kenyataan memutar belit dan mengelirukan ketika menyentuh pendengaran petisyen itu dalam forum umum, September lalu.
Pada prosiding itu, Yusfarizal bertindak selaku peguam pemerhati bagi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
Sambil memperbetulkan persepsi peguam itu, Hakim Tengku Maimum berkata, pengamal undang-undang tidak sepatutnya membincangkan isu yang menyentuh sentimen dalam khalayak umum ketika prosiding masih didengar dan belum diputuskan.
Beliau berkata, mahkamah mengambil maklum kenyataan peguam itu yang antara lain menyatakan prosiding tersebut adalah titik penyudah sebelum kewibawaan Mahkamah Syariah terkubur.
Yusfarizal dalam satu forum awam pada 16 September lalu antara lain dilaporkan berkata, petisyen Nik Elin didakwa bakal menjadi titik penyudah sebelum `batu nisan’ diletakkan bagi menguburkan Mahkamah Syariah di Malaysia.
Ketua Hakim Negara turut mengingatkan para peguam lain bahawa mereka terikat dengan etika profesion undang-undang dan sedia maklum bahawa tidak sesuai untuk membincangkan kes dalam forum umum apatah lagi untuk mendedahkan fakta penuh berkaitan sesuatu kes yang masih didengar di mahkamah.
UNDANG-UNDANG
“Kami mengingatkan semua pihak bahawa mahkamah mendukung undang-undang agar tidak menimbulkan persepsi umum manakala para peguam terikat untuk menghujahkan kes berdasarkan isu yang dibangkitkan,’’ kata beliau.
Hakim Tengku Maimum menjelaskan demikian selepas peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili kedua-dua pempetisyen membangkitkan
isu berhubung kenyataan Yusfarizal yang menyentuh pendengaran petisyen itu.
Pada prosiding 17 Ogos lalu, panel ini menekankan bahawa petisyen berkenaan hanya berkaitan pentafsiran perkataan-perkataan dalam Perlembagaan Persekutuan dan tiada kena mengena dengan doktrin Islam.
“Oleh yang demikian tidak timbul persoalan sama ada pihak pempetisyen mahupun mahkamah ini ingin menidakkan atau merendahkan kedudukan agama Islam di negara ini,” kata Ketua Hakim Negara.
Beliau mengetuai panel sembilan hakim bersidang bagi mendengar petisyen Nik Elin dan anaknya terhadap Kerajaan Negeri Kelantan dalam usaha mengisytiharkan 18 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu, terbatal dan tidak sah.
Antara peruntukan yang dicabar termasuk Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya) dan Seksyen 14 (liwat).
DIANGGOTAI
Panel itu turut dianggotai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd. Diah dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.
Turut menganggotai panel, Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri P. Nalini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.
Selepas mendengar penghujahan pihak-pihak, Tun Tengku Maimun yang mengetuai panel sembilan hakim bersidang kemudian menangguhkan keputusan pada satu tarikh lain.
Sementara itu, lebih 1,000 orang hadir Himpunan Selamatkan Syariah dan sertai solat hajat di pekarangan Istana Kehakiman pagi semalam.
Orang ramai dilihat mula berkumpul di perkarangan Tuanku Mizan Zainal Abidin Masjid sejak jam 7 pagi lagi sebelum mereka bergerak ke perkarangan Istana Kehakiman.
Gema takbir ‘Allahuakbar’ dan ‘Selamatkan Negara’ juga turut kedengaran dalam perhimpunan itu. – UTUSAN










