PETALING JAYA: Negara kerugian RM681.71 juta dana awam ekoran kegagalan enam program diuruskan kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang tidak mematuhi peraturan dan prosedur.
Perkara tersebut antara isu utama dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2022 selepas melaksanakan 16 pengauditan prestasi di 14 kementerian membabitkan projek dan program yang semuanya bernilai RM208.882 bilion.
Berdasarkan laporan LKAN, kehilangan dana awam itu meliputi kegagalan pengurusan Program Padi berjumlah RM660.14 juta; pengurusan pembangunan hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) (RM14.33 juta); pengurusan dan kawal selia senjata api jabatan serta agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (RM6.34 juta).
Turut dikesan pengurusan program pemuliharaan kawasan perlindungan marin berjumlah RM0.49 juta; program galakan pelaburan bagi sektor perkilangan (RM0.29 juta) dan pengurusan program bandar selamat sebanyak RM0.12 juta.
Kerugian tersebut antaranya berkaitan pemberian pengecualian denda yang dikenakan ke atas kelewatan pembekalan dan penghantaran baja, penyaluran subsidi dan insentif pesawah tidak optimum, kegagalan mengutip hasil pajakan tanah dan perolehan secara penggantian pelupusan senjata api tidak dibekalkan sepenuhnya.
PRESTASI
Terdahulu, Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi dalam satu kenyataan berkata, daripada 16 pengauditan prestasi membabitkan RM208.882 bilion yang dilaksanakan di 14 kementerian, ia membabitkan 13 program antaranya RM189.290 bilion program menggalakkan pelaburan bagi sektor perkilangan; pengurusan program penanaman padi (RM6.820 bilion).
Menurut beliau, program pengurusan kawalan denggi membabitkan RM5.230 bilion; pengurusan program skim pembangunan kesejahteraan rakyat (RM2.215 bilion); pengurusan naik taraf dan pembangunan semula bangunan daif di sekolah (RM1.026 bilion) dan pengurusan pembangunan hartanah LADA (RM822.61 juta).
Wan Suraya berkata, LKAN turut mengesan tiga kes pembaziran bernilai RM21.35 juta antaranya membabitkan Pengurusan Pekerja Asing melalui Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) dan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS).
Kata beliau, jumlah pembaziran itu juga membabitkan pengurusan program pemuliharaan kawasan perlindungan marin dan pengurusan program memperkasakan kapasiti, kebolehan dan daya saing industri pembinaan.
“Kes yang dibangkitkan antaranya berkaitan sistem yang tidak digunakan secara optimum dengan 11 daripada 14 modul sistem ePPAx tidak digunakan dalam proses pengurusan pekerja asing.
“Projek pangkalan hadapan yang siap pada tahun 2020 tidak dapat digunakan dan peralatan kelengkapan latihan (ACMV Industrial) tidak digunakan sejak diterima tahun 2018,” katanya.
PEMBAYARAN
Wan Suraya berkata, terdapat juga dua kes pembayaran tidak teratur bernilai RM1.52 juta membabitkan pengurusan program podium sukan elit dan pengurusan program memperkasakan kapasiti, kebolehan dan daya saing industri pembinaan.
Beliau berkata, perkara yang berbangkit adalah berkaitan perbelanjaan di luar skop kelulusan dan tajaan program dibuat kepada peserta yang tidak memenuhi syarat.
Susulan kerugian tersebut, LKAN melaporkan, Jabatan Audit Negara mengemukakan 55 syor untuk diambil tindakan oleh kementerian, jabatan serta agensi berkaitan.
“Antara syor yang dikemukakan adalah kementerian, jabatan dan agensi dimohon menjalankan kajian terperinci bagi setiap cadangan projek terlebih dahulu sebelum diluluskan.
“Selain itu, kementerian, jabatan dan agensi juga harus mempertingkatkan aspek pemantauan bagi memastikan program, aktiviti atau projek dilaksanakan mengikut jadual atau perancangan yang ditetapkan.
“Pegawai Pengawal atau Ketua Jabatan perlu menetapkan kriteria dan mekanisme penilaian keberhasilan semasa di peringkat perancangan untuk setiap program projek yang dilaksanakan,” kata laporan itu. – UTUSAN










