Lima geng curi motosikal ditahan bersama sepucuk pistol

Lima geng curi motosikal ditahan bersama sepucuk pistol

MUHAMAD Zaki Harun (tengah) berbincang mengenai kejayaan rampasan pistol semasa semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Polis berjaya menumpaskan geng curi motosikal yang aktif di sekitar negeri ini selepas menahan lima lelaki dalam dua serbuan berasingan di Tanah Merah dan Pasir Mas dekat sini awal pagi semalam.

Dalam operasi tersebut, polis merampas sepucuk pistol bersama 13 butir peluru yang bertulis PMC Luger serta sebilah parang yang dipercayai digunakan untuk aktiviti haram berkenaan.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, bertindak atas maklumat awam sepasukan anggota telah membuat serbuan di sebuah rumah di Kampung Pohon Gelugor, Jalan Chetok, Pasir Mas, pada pukul 4 pagi dan berjaya menahan dua lelaki berusia 29 dan 21 tahun.

Menurutnya, susulan tangkapan pertama itu polis telah memberkas dua lagi suspek yang masing-masing berusia 21 tahun semasa melakukan serbuan di sebuah rumah di Kampung Bukit Panau, Tanah Merah.

“Semasa serbuan dilakukan, anggota bertugas telah didatangi seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sambil memegang sebilah parang.

“Anggota berjaya menahan suspek yang berusia 25 tahun itu dan hasil pemeriksaan telah menemukan sepucuk pistol yang diselit di pinggang sebelah kanan,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, pemeriksaan lanjut telah menjumpai
13 butir peluru hidup di dalam beg kecil yang disimpan di poket seluar sebelah kanan.

Katanya, hasil saringan air kencing terhadap kesemua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Empat suspek direman sehingga 9 November, manakala seorang lagi suspek yang memiliki senjata dan gagal mengemukakan kad pengenalan direman sehingga 12 November untuk siasatan lanjut.

“Hasil serbuan ini juga anggota merampas empat buah motosikal, satu rangka motosikal, satu enjin motosikal, sebuah kereta, peralatan curi motosikal serta lapan biji pil Yaba yang dipercayai untuk kegunaan sendiri,” ujarnya.

Tambahnya, kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 8 Akta Senjatapi Penalti Lebih Berat 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya (ABKLSB) 1958, Seksyen 25(1)(N) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara (PPN) 1990.

Sementara itu, Muhamad Zaki berkata, polis turut menahan seorang lelaki berusia 34 tahun dan merampas sepucuk pistol jenis Sig Sauer bersama 27 butir peluru dalam serbuan di sebuah kedai runcit di Lubok Jong, Pasir Mas pada pukul 7.30 malam, Khamis lalu.

“Hasil ujian saringan didapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan suspek ditahan reman sehingga 9 November untuk siasatan lanjut.

“Suspek disasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjatapi Penalti Lebih Berat 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960,”katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN