Ketandusan calon, BN bukan tempat untuk Raja Mohamed Affandi - Sanusi

BN bukan tempat untuk Raja Mohamed Affandi kuatkan integriti, lawan rasuah – Sanusi

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tindakan Barisan Nasional (BN) meletakkan calon langsung untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman membuktikan parti itu sudah tidak memiliki pemimpin untuk diketengahkan bagi mewakili rakyat di kawasan berkenaan.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, langkah itu juga menunjukkan betapa lemah UMNO dan BN ketika ini hingga terpaksa mendapatkan ‘orang luar’ bagi menjadi calon mewakili mereka.

“Itu menunjukkan yang mereka tidak ada orang (untuk jadi calon). Dari sudut dalaman parti, keupayaan BN untuk melahirkan individu yang layak memimpin orang ramai juga sudah tidak ada. Sebab itu mereka terpaksa cari orang luar. Begitulah lemahnya mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Semalam Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon gabungan tersebut di Kemaman.

Menurut Ahmad Zahid, langkah meletakkan tokoh di luar bidang politik itu dibuat setelah Raja Mohamed Affandi menyatakan kesediaan atas tawaran selain berhasrat untuk membalas kembali jasa UMNO selama ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi turut mengingatkan Raja Mohamed Affandi bahawa BN bukanlah tempat yang sepatutnya beliau tuju sekiranya benar-benar mahu menguatkan integriti dan melawan rasuah.

“Sebagai seorang jeneral yang juga (bekas) Panglima Angkatan Tentera (PAT), kalau beliau mencari integriti, tempatnya bukan dalam BN. Itu bukan tempatnya tetapi kalau beliau terlalu kuat untuk itu, saya alu-alukan dan kita berharap beliau mampu lakukan sesuatu.

“Tetapi ini pilihan raya yang segalanya bergantung kepada sokongan. Walau hebat macam mana pun calon itu tetapi partinya tak disokong, maka calon tersebut akan kalah,” katanya.

Tambahnya, faktor calon hanya menyumbang kira-kira 30 peratus saja kemenangan dalam pilihan raya.

“Selain daripada itu bergantung kepada jentera, kempen dan jenama parti. Sekarang jenama BN sedang menjunam dan kalau bawa produk bagus pun, parti itu akan tumbang juga,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut menempelak kepimpinan BN yang sebelum ini menyatakan sasaran untuk mengurangkan majoriti PN di Kemaman.

“Itu menunjukkan yang mereka masuk pilihan raya dengan matlamat yang tidak betul. Sepatutnya kita masuk pilihan raya dengan matlamat untuk menang dan bukannya untuk mengurangkan majoriti.

“Kalau setakat nak kurangkan majoriti, tindakan itu hanya buang ‘karan’ dan habiskan beras. Lebih baik letak calon tersebut di tempat selamat seperti Bagan Datuk, Johor atau Melaka,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×