Pas nafi Mahathir bertanding PRK Kemaman

Pas nafi Mahathir bertanding PRK Kemaman

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pas menafikan parti itu kemungkinan meletakkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau tidak pernah dimaklumkan mengenai calon Pas yang bakal bertanding di kerusi tersebut sebaliknya mengetahui ura-ura tersebut itu di media sosial.

“Tidak ada perbincangan setakat hari ini dan kami pun sebenarnya belum ‘sit down’ dalam kalangan pimpinan tertinggi Pas tentang persiapan menghadapi pilihan raya terutama penentuan calon.

“Tarikh bincang calon pun belum ada lagi, mungkin minggu depan saya akan ke Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Ahmad Samsuri berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media mengenai dakwaan Pas mungkin meletakkan Dr. Mahathir sebagai calon pada PRK Kemaman.

Dr. Mahathir baru-baru ini dilantik sebagai penasihat tidak rasmi kepada empat kerajaan negeri pimpinan Pas.

Selain itu, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu memberitahu, Pas tiada rancangan untuk meletakkan calon Bersatu bertanding di Parlimen tersebut kerana ia merupakan kerusi tradisi Pas.

Namun, katanya, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan akan mempertaruhkan penyandang kerusi, Che Alias Hamid untuk mewakili Pas sekali lagi pada PRK Parlimen Kemaman.

“Segala kemungkinan berkaitan calon boleh berlaku termasuk calon luar selagi penamaan calon tidak dibuat,” ujarnya.

Pada PRU15 lalu, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi.

Beliau yang memperoleh 65,714 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat sebanyak 38,535 undi, calon Pejuang, Rosli Ab. Ghani (506 undi) dan calon Pakatan Harapan, Hasuni Sudin (8,340 undi). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN