Kemenangan mampu selamatkan Ten Hag

Kemenangan mampu selamatkan Ten Hag

ERIK Ten Hag
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Hanya kemenangan mampu melegakan tekanan ke atas pengendali Manchester United, Erik Ten Hag dan kelab ketika menerima kunjungan Luton Town di Old Trafford dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), malam ini.

Kempen Liga Juara-Juara terus menghampakan United yang tewas dramatik di tangan FC Copenhagen kelmarin, sekali gus semakin hampir untuk tersingkir awal daripada peringkat kumpulan.

Kekalahan itu yang kesembilan dalam 17 perlawanan mereka musim ini dengan kemenangan saat akhir ke atas Fulham hujung minggu lalu melonjakkan sedikit keyakinan penyokong namun tetap berdepan masalah konsistensi.

Luton bertahan dengan baik ketika seri dengan Liverpool pada perlawanan terakhir tetapi keputusan di Old Trafford bakal menjadi penanda aras kemampuan mereka bersaing dalam liga utama musim ini.

Dalam aksi menentan Luton, Marcus Rashford dijangka beraksi walaupun dilayangkan kad merah ketika United tewas di Copenhagen manakala Jonny Evans, Luke Shaw, Tyrell Malacia dan Lisandro Martinez masih masih cedera.

Manakala, Casemiro dijangka terlepas tempoh penting musim United selepas Ten Hag mendedahkan pemain tengah berumur 31 tahun itu akan diketepikan kerana kecederaan otot paha sehingga selepas Krismas.

“Kami akan berusaha mencari kemenangan ke atas Luton dan mengembalikan kepercayaan peminat di Old Trafford. Dengan semangat mahu bangkit, para pemain akan memberikan yang terbaik.

“Apa yang penting, para pemain kena bersatu untuk menang. Ada senarai pemain yang mengalami kecederaan, tetapi pemain sedia ada bersedia untuk diturunkan nanti,” kata Ten Hag.

Luton sekali lagi menyandarkan harapan kepada Ross Barkley yang cemerlang ketika menentang Liverpool dan Andros Townsend turut bakal dikekalkan selepas tampil kali pertama dalam kesebelasan pasukannya.

Pertahanan Mads Juel Andersen dan Reece Burke masih belum boleh beraksi bersama Albert Sambi Lokonga dan Luke Berry yang turut diketepikan akibat faktor kecergasan.

Berdasarkan prestasi semasa, sukar diramalkan sama ada United mampu menewaskan mana-mana pasukan tetapi mereka tiada pilihan selain wajib menang untuk menyelamatkan Ten Hag daripada kehilangan jawatan. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN