KOTA TINGGI: Berselindung di sebalik perniagaan lain, termasuk kedai kopi untuk menjalankan aktiviti perjudian.
Itu antara taktik pihak tidak bertanggungjawab, namun ia berjaya dibongkar pihak berkuasa dan akibatnya bekalan elektrik le premis tersebut dipotong dalam operasi bersepadu oleh pihak polis dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, sebanyak enam buah premis yang disyaki terlibat dalam kegiatan haram telah dipotong bekalan elektrik semalam dalam operasi selama tiga jam bermula pukul 10 pagi di sekitar daerah ini.
“Tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh pihak TNB dilakukan di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953. Premis ini didapati berselindung di sebalik perniagaan menjual telefon bimbit dan kad tambah nilai, kedai runcit, pasar mini dan kedai kopi.
“Pihak polis memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti perjudian demi memastikan kegiatan ini dapat dibanteras secara berterusan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Beliau menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang. – UTUSAN