Jazz langgar pembahagi jalan, bayi tujuh bulan rentung  - Utusan Malaysia

Jazz langgar pembahagi jalan, bayi tujuh bulan rentung 

Polis memeriksa kereta Honda Jazz yang terbakar dan meragut nyawa seorang kanak-kanak berusia tujuh bulan dalam kemalangan di di Kilometer 69 Jalan Kota Bharu-Gua Musang, Kula Krai, Kelantan pagi tadi.-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang bayi tujuh bulan rentung dalam kemalangan di Kilometer 69, Jalan Kota Bharu-Gua Musang berhadapan sebuah bank di sini pagi tadi.

Kejadian pukul 4.40 pagi itu turut mengakibatkan pemandu kereta  melecur 80 peratus pada badan manakala seorang lagi penumpang cedera ringan. Semasa kejadian keluarga dalam kereta Jazz  tersebut dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Panji dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, sampai di lokasi  tersebut, kereta Jazz  hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan mengakibatkan kereta tersebut terbakar 100 peratus manakala  bayi itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut beliau, polis akan menjalankan siasatan secara terperinci punca kemalangan  dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu.

Seorang peniaga dikenali Asiah Mamat, 30, berkata, semasa kejadian dia belum membuka kedai dan mengetahui kemalangan maut itu daripada jiran.

“Saya  menjenguk ke lokasi dan mendapati ada kesan terbakar dan serpihan kenderaan selain tiang lampu terbalik.

“Laluan di sini gelap sejak dua minggu lalu dan saya difahamkan sebelum ini beberapa buah kenderaan terbabit dalam kemalangan kerana pemandu tidak dapat melihat pembahagi jalan,” ujarnya.

Asiah berkata, pemandu kenderaan yang tidak biasa dengan laluan ini akan berdepan dengan masalah tidak nampak pembahagi jalan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN