Japen tarik balik kad media wartawan Harakah? - Utusan Malaysia

Japen tarik balik kad media wartawan Harakah?

AHMAD FADHLI SHAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen dari Pas mendakwa Jabatan Penerangan (Japen) mengambil balik kad perakuan media (KPM) milik wartawan yang bekerja dengan lidah rasmi parti itu iaitu akhbar Harakah.

Ahmad Fadhli Shaari [PN-Pasir Mas] berkata, pihak Harakah menerima surat daripada Japen hari ini yang menyatakan kad media wartawannya diambil balik.

“Hari ini kami telah menerima surat dari Jabaran Penerangan, diambil balik kad media dari wartawan Harakah. Ini satu tindakan yang tidak pernah akhbar Harakah alami semenjak zaman yang disebut mahazalim. Tidak pernah diambil kad media,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di peringkat jawatankuasa.

Ahmad Fadhli tidak menjelaskan secara terperinci sebab Harakah dikenakan tersebut.

Bagaimanapun, tindakan itu difahamkan ada kaitan dengan artikel yang diterbit portalnya, Harakah Daily semalam.

Artikel itu bertajuk ‘Malaysia Di Bawah Anwar Ragu-Ragu Sokong Palestin?’ yang memetik Ketua Dewan Ulamak Pas, Datuk Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena) mendakwa kerajaan telah mengubah nadanya berhubung pejuang kemerdekaan Palestin untuk mengikuti naratif yang ditetapkan oleh Israel dan Barat.

Harakah juga telah menerbitkan satu set gambar untuk mengiringi artikel itu yang memaparkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan bendera Israel di belakangnya, manakala foto Ahmad mempunyai bendera Palestin di sisinya.

Bagaimanapun, semakan Utusan Malaysia mendapati gambar itu telah ditukar dan hanya bendera Israel dan Palestin dipapar tanpa wajah kedua-dua pemimpin berkenaan.

Menurut salinan surat Japen dilihat Utusan Malaysia, pihaknya mendapati terdapat artikel berita yang diterbit melalui portal Harakah Daily bertarikh 6 November 2023, bertajuk ‘Malaysia di bawah Anwar ragu-ragu sokong Palestin’ yang telah melanggar etika kewartawanan Malaysia iaitu tuduhan tidak berasas.

Kata surat itu, Japen meminta kerjasama pihak akhbar berkenaan untuk memulangkan semua KPM selewat-lewatnya esok (8 November 2023) dan permohonan memperbaharui adalah tidak diluluskan.

“Pihak kami berhak menarik balik KPM yang dikeluarkan jika agensi media didapati melanggar etika kewartawanan Malaysia.

“Adalah menjadi kesalahan untuk pihak tuan (anda) menggunakan kad tersebut selepas diminta memulangkannya kerana KPM adalah dokumen terhad dan terperingkat Japen,” kata surat itu.

Anwar pagi tadi pada waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak terutama Pas, melalui Harakah kerana mengaitkannya dengan Israel.

Katanya, parti itu dilihat ‘membina mahligai atas pusara’ dengan memaparkan naratif buruk terhadapnya, sedangkan kerajaan bertungkus lumus membantu rakyat di Palestin susulan kekejaman dilakukan oleh zionis Israel.

Katanya, ini selepas akhbar itu yang menyunting gambar Anwar berlatarbelakangkan bendera Israel yang disifatkan biadab dan melanggar tata susila.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN