PETALING JAYA: Pengasas syarikat i-Serve yang juga rakan perniagaan kepada pengasas MYAirline ditahan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di Sepang dari luar negara semalam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, lelaki berusia 58 tahun itu ditahan di pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pukul 3.30 pagi.
“Soal siasat awal mendapati lelaki itu mula berkenalan dan berkawan dengan pengasas MYAirline pada 1995 serta mengakui menubuhkan syarikat i-Serve pada 2019.
“Pengasas i-Serve turut mengaku berperanan sebagai pengarah di beberapa anak syarikat di bawah i-Serve,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurut beliau, polis turut menahan isterinya yang berusia 57 tahun dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Sentul dekat sini pada 4.15 pagi, semalam.
Kata beliau, pihaknya turut merampas telefon bimbit dan pasport suami isteri pasangan itu selain menyita kereta Mercedes mereka.
“Soal siasat ke atas si isteri mendapati dia pekerja swasta di sebuah syarikat insuran dan tidak mengaku penglibatan dalam kes yang disiasat polis,” kata beliau.
Kata Ramli, polis menahan reman kedua-dua suspek dua hari bermula semalam.
Jumaat lalu, Ramli mendedahkan menerima 67 laporan berkaitan pelaburan i-Serve membabitkan jumlah kerugian lebih RM81.6 juta.
Sebelum itu, seramai lapan individu melibatkan lelaki bergelar Datuk iaitu pengasas syarikat penerbangan bersama isteri dan anaknya, seorang pemegang saham syarikat i-Serve, tiga kakitangan pelaburan itu serta seorang peguam syarikat terbabit ditahan.
Penahanan kedua-dua suspek menjadikan jumlah tangkapan keseluruhan membabitkan pelaburan itu seramai 10 orang.
Siasatan dilakukan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 bagi membantu siasatan. – UTUSAN










