PETALING JAYA: Skuad hoki wanita negara mahu memastikan kehadiran mereka di Kelayakan Sukan Olimpik Paris di Valencia, Sepanyol pada 15 Januari depan bukan sekadar mencukupkan penyertaan, tetapi memasang impian untuk menjadi pasukan pengacau.
Pengendali negara, Nasihin Nubli Ibrahim mengakui ketika ini sukar untuk pasukannya merebut ke tiket ke temasya sukan terbesar dunia itu, namun itu tidak bermakna mereka akan memberikan laluan mudah buat kesemua lawan ketika peringkat kumpulan.
Menerusi undian Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) Isnin lalu, Malaysia yang kini berada di tangga ke-18 dunia akan berdepan cabaran untuk mengekang Great Britain (No.7 dunia), tuan rumah, Sepanyol (No.8 dunia) serta Kanada (No.16 dunia) dalam Kumpulan B.
Empat lagi pasukan yang melengkapkan Kumpulan A adalah Kumpulan ranking keempat dunia, Belgium, Korea Selatan (No.12 dunia), Ireland (No.13 dunia) dan Ukraine (No.28 dunia).
Hanya tiga pasukan terbaik daripada pusingan kelayakan ini akan layak beraksi di Sukan Olimpik Paris.
“Saya selalu terapkan dalam pasukan kita boleh menjadi pengacau kepada gergasi-gergasi hoki lain. Kita buat benda yang sama di ACT (Trofi Juara-Juara Asia) baru-baru ini yang mana kita seri 1-1 dengan Korea Selatan.
“Ia menyebabkan Korea terpaksa bertemu lawan yang lebih kuat di separuh akhir. Pasukanranking lebih tinggi tentunya menjadikan kita sasaran nanti.
“Kita perlu perbaiki dan serius dalam persediaan ke Kelayakan Olimpik supaya pasukan lebih mantap,” kata Nasihin. – UTUSAN









