Hilang 55 ahli keluarga dalam serangan Israel

Hilang 55 ahli keluarga dalam serangan Israel

SEORANG rakyat Palestin hanya mampu menyelamatkan beberapa tilam selepas kem pelarian Jabalia di Gaza dibedil tentera Israel, baru-baru ini. –AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang penuntut Ijazah Doktor Falsafah Teknologi Pendidikan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kehilangan 55 orang ahli keluarga dalam sekelip mata selepas tentera udara Israel melancarkan serangan ke atas kem Jabalia, tempat keluarganya berlindung.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohammed Z. M. Qaddoura, 33, berkata, keja­dian pembunuhan beramai-ramai itu berlaku pada Rabu minggu lalu, sebelum proses gencatan senjata di­mulakan.

SEDIH

“Saya berasa sangat sedih dengan berita tersebut, tentera udara Israel me­nyerbu kem pelarian Jabalia dan mereka menyasarkan rumah dengan dua peluru berpandu, memusnahkan rumah tiga tingkat hingga ranap sama sekali,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, rejim Zio­nis dijangka menyerang rak­yat Palestin di Gaza habis-ha­bisan dengan membawa na­ratif menghapuskan Hamas secara kese­lu­ru­hannya sebaik sahaja tempoh empat hari gencatan senjata tamat.

Bagaimanapun, berdasarkan perjanjian gencatan senjata dicapai antara Hamas dan rejim Zionis melalui negara perantara iaitu Qatar, Arab Saudi dan Amerika Syarikat (AS) tempoh jeda kemanusiaan tersebut mungkin akan berlanjutan sekurang-kurangnya dua hari lagi berbanding masa sebenar.

Mengulas berkenaan situasi genting di Gaza sekarang, Qaddoura berkata, dia tidak pasti apa yang bakal berlaku terhadap rakyat Gaza sekiranya gencatan senjata tidak diteruskan.

“Apa yang saya boleh katakan, Gaza sangat berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan gencatan senjata dalam tempoh yang panjang,” katanya.

GENCATAN

Menurut beliau, gencatan senjata ini harus diteruskan bagi memberi ruang untuk penduduk Gaza menerima segala bantuan dari segi makanan, minuman dan rawatan.

Dalam pada itu, pelajar Sarjana Kejuruteraan Bioperubatan, Universiti Teknologi Mara (UTM), Kamal Ashour, 22, mengharapkan peperangan itu akan berakhir dengan segera.

“Kami di sini sentiasa berdoa agar pencerobohan ini berhenti hari ini dan bukannya esok kerana mereka adalah manusia seperti kita, tetakutan, kebimbangan dan perasaan yang sama seperti kita,” katanya.

Perang Hamas-Israel yang bermula 7 Oktober lalu dihentikan empat hari bermula Jumaat lalu selepas kedua-dua pihak mencapai kata sepakat untuk melakukan gencatan senjata bersyarat.

Antara syaratnya adalah, Hamas membebaskan 10 tebusan Israel setiap hari manakala rejim Zionis akan membebaskan 150 tahanan rakyat Pales­tin khususnya wanita dan kanak-kanak, selain menghentikan operasi ketenteraan di Gaza. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×