Harimau Malaya perlu 12 mata - Pan Gon

Harimau Malaya perlu 12 mata – Pan Gon

KIM Pan Gon bersama pemain pertahanan Harimau Malaya, Matthew Davies pada sidang media, semalam menjelang pertemuan menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon menyasarkan untuk mengutip 12 mata dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, sekali gus layak ke peringkat 18 pasukan terbaik benua Asia.

Pan Gon berkata, biarpun berdepan cabaran sengit, sasaran utama Harimau Malaya adalah untuk mara sehingga ke pusingan ketiga aksi kelayakan dan mengintai peluang untuk Harimau Malaya melakar sejarah ke Piala Dunia.

“Setiap tahun, kita akan hadapi pelbagai perlawanan dan kejohanan tetapi untuk Piala Dunia, ia cuma berlangsung dalam tempoh empat tahun sekali. Bagi saya, Piala Dunia perlu diberikan keutamaan dan kemudian barulah Piala Asia.

“Ia adalah satu cabaran besar buat kami untuk mara ke peringkat akhir kelayakan. Saya mahu menjadikan pasukan ini antara 18 pasukan terbaik di Asia dan mara sejauh mungkin dalam aksi kelayakan,” kata jurulatih dari Korea Selatan itu.

Malaysia perlu menjadi dua pasukan terbaik untuk mara ke pusingan ketiga kelayakan. Dari situ, sebanyak 18 negara akan merebut lapan slot (direct slot) ke Piala Dunia dengan satu tempat lagi akan direbut dalam pusingan play-off antara benua.

Bercakap mengenai peluang untuk meraih tiga mata dalam aksi pertama menentang Kyrgyzstan malam ini , Pan Gon berkata, dia sedar Harimau Malaya akan berdepan cabaran getir dan perlu bersedia dalam apa jua kemungkinan.

Pan Gon yang membawa Malaysia layak secara merit ke Piala Asia 2023 juga tidak mahu terlalu yakin dengan peluang dimiliki Harimau Malaya kerana baginya, jika bersikap demikian, ia boleh memakan diri.

“Terdapat enam perlawanan, kami tidak tahu bila kami akan meraih kemenangan. Saya tidak pasti dapat meraih enam mata penuh dalam dua perlawanan termasuk dengan Taiwan, tapi kami akan berusaha untuk mendapatkan kemenangan dalam setiap perlawanan.

“Setiap perlawanan kami mahukan tiga mata, kalau dapat capai kita akan gembira dan kalau tidak kita akan berusaha dalam perlawanan seterusnya. Tetapi secara logiknya, perlawanan menentang Kyrgyzstan amat penting.

“Kalau kami dapat meraih 12 mata dalam peringkat kumpulan sudah cukup (untuk ke peringkat seterusnya), tetapi kalau dapat 13 mata sangat cantik,” ujar Pan Gon.

Sasaran 12 mata itu dilihat realistik sebagai usaha memastikan kedudukan dua teratas dalam peringkat kumpulan akan terjamin, sekali gus melakar sejarah baharu bola sepak negara untuk mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah.

Dalam masa yang sama,  Pan Gon merayu agar penyokong setia skuad kebangsaan datang memenuhkan setiap ruang di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberi sokongan kepada skuad kendaliannya.

“Saya tidak boleh janjikan apa-apa kepada peminat, tetapi ini adalah laluan skuad kebangsaan untuk ke pentas Piala Dunia. Perlawanan ini sangat penting, semua pihak kena bersatu dan (penyokong) kena datang ke stadium, beri sokongan kepada kami.

“Tanpa sokongan peminat, kami bukannya sesiapa. Peminat kena datang dan berikan sokongan. Ini rumah kita, persekitaran dalam stadium perlu dipenuhi untuk takutkan Kyrgyzstan, datang dan berjuang bersama-sama,” kata Pan Gon. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN