Harimau baham Orang Asli di Pasik masuk perangkap

Harimau baham Orang Asli di Pasik masuk perangkap

HARIMAU belang yang membaham seorang lelaki Orang Asli telah masuk ke dalam perangkap di pasang Perhilitan Kelantan di kawasan Pos Pasik, Gua Musang, Kelantan-IHSAN PERHILITAN KELANTAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seekor harimau belang yang membaham Orang Asli Pos Pasik di sini pada 5 Oktober lalu akhirnya ditangkap hari ini selepas masuk ke dalam perangkap di pasang oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) hari ini.

Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani berkata, harimau ditangkap dalam keadaan sihat selepas masuk ke dalam perangkap tersebut.

Menurutnya, pak belang itu akan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak untuk tindakan lanjut.

“Dengan penangkapan ini, kami percaya ia akan meredakan dan kegusaran penduduk Orang Asli di Pos Pasik.

“Walaubagaimanapun penduduk di Pos Pasik perlu berjaga-jaga dan keluar ke ladang dan bekerja secara berkumpulan dan tidak berseorangan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohamad Hafid memberitahu, pihaknya sedang menjalankan siasatan untuk mengenalpasti sama ada harimau belang yang ditangkap itu sama menerkam mangsa dalam kejadian.

Katanya, sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar perlu disalurkan kepada pihak kami melalui talian 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, mayat lelaki Orang Asli yang dibaham harimau belang sebelum diseret sejauh 300 meter ke cerun bukit di kawasan kebun kelapa sawit di Pos Pasik di sini, kelmarin ditemukan dalam keadaan mengerikan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mangsa, Pisie Amud, 25, dijumpai semalam oleh penduduk Orang Asli dengan keadaan kaki kiri yang telah tiada dan mukanya sudah dalam keadaan tidak sempurna selepas dipercayai dimakan haiwan tersebut.

Menurutnya, organ dalaman pada bahagian kepala mangsa juga sudah tiada selain terdapat kecederaan pada bahagian punggungnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN