Guan Eng mulakan tindakan undang-undang terhadap Siti Mastura - Utusan Malaysia

Guan Eng mulakan tindakan undang-undang terhadap Siti Mastura

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lim Guan Eng memulakan tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Mohamad selepas mendakwa beliau mempunyai hubungan kekeluargaan dengan komunis, Chin Peng. 

Menurut Ahli Parlimen Bagan, beliau sudah melantik Datuk Sankara Narayanan Nair sebagai peguamnya untuk memulakan tindakan dan prosiding undang-undang terhadap Siti Mastura. 

Katanya, tindakan itu berdasarkan ucapan kebencian Siti Mastura di Kemaman pada majlis Ameerah atau ahli wanita muda Pas pada 4 November lepas yang diselitkan dengan pembohongan keterlaluan dan fitnah jahat. 

“Beliau secara terang-terangan menggunakan hubungan kekeluargaan yang sebenarnya tidak wujud, hanya untuk menimbulkan ketakutan terhadap DAP dan orang Cina, adalah jelas bersifat perkauman dan ekstremis. 

“Apa yang membuatkan kelakuan Siti Mastura yang tidak bertanggungjawab ini menjadi lebih teruk ialah tiada langsung seperti rasa kesal daripada beliau bahawa ucapannya penuh dengan kebencian dengan pembohongan, bersifat perkauman dan ekstremis.

“Siti Mastura enggan menunjukkan bukti mengenai dakwaan hubungan kekeluargaan tersebut malah tidak langsung menarik balik atau memohon maaf di atas pembohongan dan fitnah jahatnya,” katanya dalam kenyataan. 

Guan Eng sebelum ini memberi masa dua hari untuk Siti Mastura mengemukakan bukti jika benar beliau mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Chin Peng. 

Ini berikutan Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas Pulau Pinang itu menerusi satu klip video dikatakan mengaitkan Guan Eng dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng serta pemimpin DAP lain dengan komunis. 

DISEBUT

Pemimpin DAP lain yang turut disebut alah Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim; Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming dan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham. 

Sehingga kini, Siti Mastura seperti tidak peduli jika DAP  mengambil tindakan undang-undang mengenai tuduhan beliau yang tidak berasas.

Turut membimbangkan, Guan Eng berkata, sikap penyokong Pas yang terus menyokong dan memuji Siti Mastura semata-mata kerana pembohongannya telah menimbulkan kemarahan dalam  kalangan pemimpin dan penyokong DAP serta rakyat Malaysia. 

“Penyokong Pas tidak kisah Siti Masturah berbohong atau membuat kenyataan perkauman dan ekstrem, asalkan ia (dibuat) terhadap pemimpin DAP. 

“Atas sebab ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan pendirian mereka secara terbuka sama ada mereka senada dengan pembohongan keterlaluan dan fitnah jahat Siti Mastura atau sebaliknya,” katanya.  – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya