KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan hari ini sekali lagi membentangkan Belanjawan 2024 dengan defisit sebanyak RM178.49 juta.
Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassaruddin Daud berkata, bagaimanapun kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1.61 bilion sebagai perancangan berbelanja untuk belanjawan yang bertemakan Kelantan Mampan Berkat Sejahtera.
Menurutnya, perancangan itu melibatkan pecahan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM1.15 bilion dan perbelanjaan pembangunan RM468.36 juta.
“Walaupun defisit, namun kerajaan akan memberikan keutamaan kepada projek-projek atau program-program yang sekaligus merangsang kemakmuran dan mendatangkan kesejahteraan kepada rakyat.
“Selaras dengan tema itu, perancangan berbelanja secara berhemat yang menjurus kepada lima teras iaitu pemerkasaan agama dan pendidikan (RM208.92 juta), rakyat sejahtera (RM375.61 juta), ekonomi progresif (RM349.7 juta), melestarikan alam sekitar (RM12.8 juta) serta ihtirafi tadbir urus (RM21.85 juta),” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan (ADUN) Meranti itu memberitahu, kerajaan negeri dijangka memperoleh anggaran hasil sebanyak RM967.25 juta pada tahun 2024.
Katanya, ia yang meliputi hasil cukai sebanyak RM224.94 juta, hasil bukan cukai RM364.05 juta dan terimaan bukan hasil RM378.26 juta.
“Jumlah tersebut menunjukkan berlakunya penurunan dalam hasil sebanyak RM15.89 juta iaitu sebanyak 1.62% berbanding anggaran hasil tahun 2023 sebanyak RM983.14 juta.
“Saya berharap agar dengan peruntukan ini akan membawa Kelantan ke arah yang lebih berkat, makmur dan berkebajikan demi kesejahteraan rakyat di dunia mahupun di akhirat,” ujarnya.-UTUSAN










