TUMPAT: Dua buah kereta yang digunakan oleh warga tempatan untuk menyeledup pendatang asing tanpa izin (PATI) terbabas selepas cuba melarikan diri daripada ditahan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa semalam.
Kereta jenis Proton Perdana itu berjaya ditahan selepas sepasukan anggota PGA di Kampung Neting selepas PGA berjaya mengesan kenderaan tersebut yang dipandu dalam keadaan mencurigakan pada pukul 9.30 malam.
Ketua Polis Daerah Tumpat Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, semasa melakukan di kawasan lorong di Kampung Neting anggota bertugas telah bertembung dengan dua buah kereta Proton Perdana dari arah Cabang Tiga Jalan Terbok-Kelaboran.
Menurutnya, menyedari kehadiran PGA kedua-dua buah kereta itu bertindak melarikan diri dan akhirnya terbabas di bahu jalan.
“Bagaimanapun, salah seorang pemandu kereta itu berjaya melarikan diri ke dalam semak berdekatan dengan meninggalkan empat lelaki dan dua perempuan yang merupakan PATI Myanmar.
“Hasil pemeriksaan ke atas sebuah lagi kereta, PGA telah berjaya menangkap seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai tekong dan dua lelaki serta tiga wanita merupakan PATI Myanmar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Amran memberitahu, kesemua PATI berusia 20 hingga 41 tahun itu ditahan dan di bawa balik ke Ibu Pejabat Polis Dearah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut.
Katanya, pemeriksaan mendapati kesemua PATI tidak memiliki dokumen diri yang sah.
“Semakan mendapati lelaki tempatan berusia 30 tahun itu memiliki lapan rekod berkait dadah tiga jenayah termasuk satu dikehendaki berkait Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
“Suspek ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Langkah Khas) 2012 selama 28 hari untuk siasatan di bawah Seksyen 26A ATIPSOM 2007. Migran pula ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen selama 14 hari,” ujarnya.-UTUSAN