BUKIT JALIL: Biarpun bergelut dengan kecederaan serius tulang belakang, atlet renang para negara, Muhammad Imaan Aiman Muhammad Redzuan berjaya mengatasi halangan tersebut dengan membutirkan pingat gangsa dalam acara kuak lentang S14 Sukan Para Asia Hangzhou baru-baru ini.
Kata atlet berusia 18 tahun itu, dia sangat berpuas hati walaupun menyertainya buat kali pertama tanpa sasaran peribadi.
Imaan yang telahpun layak secara merit ke Sukan Paralimpik 2024 di Paris berkata, kedudukan di tempat ketiga itu menjadi pembakar semangat untuk membuahkan hasil yang lebih baik dalam temasya itu.
“Sebenarnya saya tak letak sasaran pun kerana kecederaan di bahagian belakang teruk. Saya dah anggap kalau pergi pun memang tak menang apa-apa sebab doktor pun cakap serius.
“Kalau ikutkan di Hangzhou, prestasi saya okay. Saya akan cuba lagi untuk beri saingan kepada negara lain, mereka agak kuat untuk kategori yang saya sertai ini.
“Walaupun sudah layak ke Paris namun saya tetap akan cuba lakukan yang terbaik dalam kejohanan akan datang,” kata Imaan.
Sebelum ini, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin memaklumkan empat perenang para negara termasuk Imaan sudah pun layak ke temasya Olimpik tahun depan.
Turut berada dalam senarai itu ialah Zy Kher Lee, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli dan Brenda Anellia Larry.
Dalam Sukan Para ASEAN di Kemboja, Jun lalu, Imaan pernah mencipta sensasi apabila merangkul empat emas, masing satu perak dan gangsa. – UTUSAN









