KANGAR: Seorang bomoh bersama rakannya yang giat menjalankan kegiatan pecah premis berjaya dicekup polis menerusi serbuan dilakukan di sebuah rumah sekitar Kampung Repoh, Seberang Sungai, di sini, pada Isnin lalu.
Penahanan dua suspek terlibat dibuat susulan daripada satu laporan polis melibatkan kes kecurian di sebuah premis kedai runcit sekitar Taman Sena, di sini, kira-kira pukul 10.56 malam pada Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, menerusi siasatan awal dilakukan, kedua suspek terlibat masing-masing berusia 49 dan 23 tahun itu mengaku telah mencuri satu beg sandang milik pengadu yang merupakan pekerja di kedai runcit terbabit.
“Selepas mencuri beg itu, suspek kemudiannya kembali semula ke premis kedai runcit terbabit untuk mencuri motosikal milik mangsa dengan menggunakan kunci yang berada di dalam beg sandang berkenaan,” katanya sewaktu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Yusharifuddin berkata, semakan juga mendapati suspek pertama mempunyai 16 rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah manakala suspek kedua mempunyai lapan rekod melibatkan kes yang sama.
Beliau berkata, kedua-dua suspek terlibat juga didapati positif dadah jenis methamphetamine dan siasatan lanjut masih dijalankan buat masa ini.
“Suspek berkenaan turut mengaku terlibat dalam tiga kes jenayah lain yang disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Selain itu, semua barang yang dilaporkan hilang oleh beberapa mangsa sebelum ini turut dijumpai semula membabitkan komputer riba, tablet, pemacu kilat, telefon bimbit, barang kemas dan pelbagai lagi,” katanya.
Ujarnya, menerusi penahanan itu, polis berjaya membuat tangkapan ke atas suspek terlibat dalam tempoh kurang 24 jam selepas laporan dibuat oleh mangsa.
“Reman ke atas dua suspek terlibat juga akan disambung semula bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan serta Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Yusharifuddin berkata, polis juga memohon kerjasama orang ramai bagi mengesan seorang individu dikenali sebagai K. Krisna Mani, 42, yang dipercayai terlibat dalam beberapa kes pecah premis sekitar Kangar sejak bulan Ogos lalu.
Katanya, suspek terlibat didapati mempunyai 38 rekod jenayah dan merupakan individu yang dikehendaki polis.
“Oleh itu polis memohon kerjasama orang ramai mengesan suspek terlibat bagi membantu siasatan,” katanya.-UTUSAN