Bekas Ketua Wira Warisan kini sertai Parti Gagasan Rakyat Sabah? - Utusan Malaysia

Bekas Ketua Wira Warisan kini sertai Parti Gagasan Rakyat Sabah?

MOHD. Ismail Ayob (dua dari kiri) hadir sebagai pemerhati ke Persidangan Agung Tahunan 2023 Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di Kota Kinabalu, Sabah hari ini.-GAMBAR/FACEBOOK MOHD. ISMAIL HJ AYOB II
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas sebulan meletak jawatan Ketua Wira Parti Warisan (Warisan) dan keluar parti, Mohd. Ismail Ayob dikatakan telah menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Utusan Malaysia difahamkan, Mohd. Ismail mendaftarkan keahliannya pada minggu lalu, namun, tidak merancang menyertai Gagasan Rakyat sebelum meletak jawatan dan keluar parti Warisan.

Sementara itu, Mohd. Ismail dalam hantaran di Facebooknya malam ini seakan-akan mengesahkan penyertaannya sebagai ahli Gagasan Rakyat apabila hadir sebagai pemerhati bahagian Lamag, Kinabatangan ke Persidangan Agung Tahunan 2023 Gagasan Rakyat di Kota Kinabalu, Sabah, hari ini.

Beliau juga berkongsi lebih 40 keping gambar memakai pakaian rasmi parti berwarna merah beserta tanda nama ‘Md. Ismail’.

Pada 7 Oktober lalu, beliau mengumumkan peletakan jawatannya bukan disebabkan menerima tawaran atau imbuhan menyertai parti-parti politik lain.

Sebaliknya, kata beliiau, keputusan itu dibuat akibat kegagalannya sebagai pemimpin sepanjang menjadi Ketua Wira Warisan dan Ketua Bahagian Warisan Parlimen Kinabatangan.

Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman sebelum ini mendakwa keputusan Mohd. Ismail keluar parti kerana tidak dapat memberi komitmen sepenuhnya dalam aktiviti politik.

Katanya, Mohd. Ismail selalu tidak hadir ke mesyuarat tertinggi dan bahagian parti yang mengundang rasa tidak puas hati akar umbi, sedangkan beliau telah diundi dan menang jawatan Ketua Wira dalam pemilihan sebelum ini.

Katanya, beliau sebaliknya lebih menumpukan kepada perniagaan sehingga tidak dapat menyumbang sedikit masa untuk hal ehwal parti.

Mohd. Ismail sebelum ini menang jawatan Ketua Wira Warisan untuk penggal 2021 hingga 2024 dalam Perhimpunan Agung Tahunan Warisan pada Ogos 2022.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), beliau pernah bertanding atas tiket Warisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau, namun tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman dengan undi majoriti 1,628.

Beliau juga tewas kepada calon BN juga Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin di DUN Lamag, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 2020 dengan undi majoriti 661.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya