JOHOR BAHRU: Seorang anak lelaki berusia 41 tahun sanggup meminta sembilan kumpulan ceti haram atau ah long ‘memburu’ ibu kandungnya bagi melunaskan hutang wang pinjamannya yang digunakan untuk berjudi secara dalam talian.
Malah, pinjaman itu bukan yang pertama kali dibuat untuk tujuan sama, sebaliknya itu yang ketiga ibu kepada kaki judi tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Tiow, 63, kini hidup dalam ketakutan kerana menerima ugutan daripada sembilan kumpulan ah long yang menuntutnya melunaskan hutang berkenaan.
“Beberapa tahun sebelum ini, anak lelaki itu pernah meminjam wang dan hutang itu telah dilangsaikan. Kemudian pada September lalu, saya turut membantu membayar hutang ah long yang dibuat dia sebanyak RM12,000.
“Pada bulan ini, saya sekali lagi diugut sembilan kumpulan ah long yang menuntut bayaran berjumlah RM18,000 yang dipinjam dia yang dihabiskan untuk bermain judi dalam talian.
“Saya tidak mahu ada hubungan lagi dengan dia, bukan saya yang meminjam wang berkenaan. Jadi, mengapa ah long perlu mengejar dan mengugut saya sehingga menyebabkan saya hidup dalam ketakutan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, di sini hari ini.
Tiow mengakui telah menghabiskan wang simpanan ditinggalkan mendiang suaminya yang meninggal dunia empat tahun lalu semata-mata untuk membayar hutang anak lelakinya itu.
“Saya sendiri tiada pendapatan tetapi kumpulan ah long ini menelefon dan memberi mesej ugutan setiap hari dan disebabkan takut saya tinggalkan rumah dan kini menetap bersama-sama anak perempuan di tempat lain.
“Anak lelaki saya itu kini tidak bekerja lagi, walaupun masih boleh berhubung dengannya tetapi dia hanya meminta saya membayar hutang-hutangnya, dia yang minta ah long itu mencari saya. Oleh itu, saya telah buat dua laporan di Balai Polis Masai berhubung perkara ini dan tidak mahu dikaitkan dengan dia lagi,” jelasnya.
Sementara itu, Pegawai Khas ADUN Johor Jaya, Lee Wern Yiing memberitahu, pihaknya menasihati orang awam agar tidak meminjam wang daripada ah long mahupun terjeba judi dalam talian.
“Kami juga berharap ah long terlibat tidak mengganggu individu yang tidak bersalah kerana bukan ahli keluarga yang membuat pinjaman wang berkenaan, jadi jangan ganggu mereka,” katanya. – UTUSAN