ARAU: Pemilihan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman bukan Pas ketandusan calon sebaliknya Menteri Besar Terengganu adalah pilihan terbaik mengikut syarak.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pastinya sudah membuat pertimbangan terbaik memilih Ahmad Samsuri yang disifatkan layak diketengahkan di peringkat Parlimen.
Menurut beliau, pemilihan calon adalah pilihan terbaik mengikut syarak dan Ahmad Samsuri dilihat mempunyai peluang cerah mengekalkan kemenangan di Kemaman.
“Pas pusat sudah pastinya mempunyai alasan kenapa memilih Ahmad Samsuri yang merupakan pilihan terbaik mengikut syarak.
“Tidak timbul soal Pas ketandusan calon sebalik pemilihan kita adalah yang terbaik bagi memastikan kemenangan dalam PRK nanti,” katanya.
PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini bakal menyaksikan pertembungan sengit satu lawan antara calon Barisan Nasional (BN) dan Pas.
Dua calon tersebut ialah bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang mewakili BN dan Ahmad Samsuri pula Pas.
PERTARUNGAN
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Alias Che Hamid daripada Pas menang dengan majoriti 27,179 undi dengan meraih 65,714 undi dalam pertarungan empat penjuru.
Alias berjaya menewaskan calon BN, Datuk Seri Ahmad Said yang meraih 38,535 undi dan dua calon lain iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin yang mendapat 8,340 undi manakala calon Pejuang, Rosli Ab Ghani hanya memperoleh 506 undian.
Sementara itu, Hashim membidas Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said yang mencabar Ahmad Samsuri untuk melepaskan jawatannya dan memberi fokus kepada Parlimen Kemaman yang bakal ditandinginya pada PRK 2 Disember depan.
Soal Hashim, sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina sudah pastinya tahu yang Ahmad Samsuri tidak melanggar Perlembagaan atau undang-undang apabila bertanding dalam PRK tersebut.
“Siapa Azalina yang cuba mencabar Samsuri dan sebagai Menteri dia tidak sepatutnya bercakap seperti itu,” katanya. – UTUSAN










