Ahli Parlimen Bersatu ‘disunting’ agar parti dilihat lemah, longlai - Utusan Malaysia

Ahli Parlimen Bersatu ‘disunting’ agar parti dilihat lemah, longlai

AHMAD Faizal Azumu merasmikan Armada, Srikandi dan Srikandi Muda dalam Perhimpunan Agung Tahunan Kelima Bersatu 2023 di Shah Alam, Selangor semalam. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bersatu mendakwa partinya dalam blok pembangkang menjadi ancaman kepada Kerajaan Persekutuan sehingga empat anggota parlimennya didakwa dihasut untuk menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah, tindakan didakwa dilakukan kerajaan itu sebagai muslihat untuk melemahkan Bersatu daripada terus mendapat tempat dalam kalangan pengundi Melayu dan bumiputera serta sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Kerajaan Madani semakin resah dengan Bersatu yang dikatakan sebagai parti semakin berkembang pengaruhnya menerusi ukuran dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 dan Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Dalam kalangan kita mula didekati, dipujuk rayu cuba disunting agar Bersatu dilihat lemah dan longlai.

“Ada dalam kalangan kita yang sentiasa lupa, musuh politik kita hanya mendekati kita apabila kita dilihat sebagai ancaman kepada kekuasaan mereka,” katanya ketika berucap pada perasmian serentak Armada, Srikandi dan Srikandi Muda dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Kelima 2023 semalam.

KEKAL

Beliau menegaskan, Bersatu bersama PN akan kekal sebagai pembangkang yang memainkan peranan sebagai semak dan imbang terhadap polisi, tadbir urus dan tindakan Kerajaan Persekutuan.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, empat Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri dengan memberi alasan demi mempertingkat pembangunan dan bantuan untuk kawasan ketika rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup.

Mereka ialah Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abd Rahman (Labuan).

Dalam pada itu, Ahmad Faizal bagaimanapun tidak menafikan laporan akhbar ini apabila terdapat dakwaan Ahli Parlimen Bersatu diarahkan menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi mengikat wakil rakyat parti itu supaya kekal setia serta tidak mengambil langkah bertentangan dengan perlembagaan parti.

SD berkenaan dipercayai ditandatangani sewaktu pemukiman yang diadakan minggu lalu, tetapi tidak dijelaskan lokasinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×