Ada NGO dibayar cetus isu tanah Orang Asli – Jakoa

Ada NGO dibayar cetus isu tanah Orang Asli – Jakoa

SAPIAH MOHD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) kesal kerana terdapat segelintir pertubuhan bukan kerajaan (NGO) etnik itu yang ‘dibayar’ pihak luar untuk sengaja mencetuskan isu tanah melibatkan masyarakat ber­kenaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarahnya, Datuk Sapiah Mohd. Nor berkata, NGO terlibat sendiri mengakui akan kehilangan dana jika tidak berbuat demikian.

“Kita tidak nafi ada NGO jujur yang sering berjumpa Jakoa bincang pelbagai isu berkaitan, namun ada diupah pihak tertentu bagi cipta isu panas,” kata beliau ketika ditemui di pejabat beliau baru-baru ini.

Akhbar ini pada 5 Oktober lalu melaporkan keluhan Pre­siden Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM), Majid Suhut mengenai isu pewartaan tanah etnik itu.

Beliau mendakwa kononnya lebih 50 peratus daripada kira-kira 400 Kampung Orang Asli (KOA) berstatus hutan simpan dan ada belum diwartakan ta­nah rizab komuniti tersebut.

Keadaan itu yang sudah berlarutan sejak negara mencapai kemerdekaan dikatakan sangat membimbangkan mereka ke­rana pihak berkuasa boleh me­rampas pada bila-bila masa.

Mengulas lanjut, Sapiah yang enggan menyatakan nama-nama NGO terbabit berkata, perkara itu terbongkar ketika selesai sesi libat urus yang dikendalikan oleh Jakoa.

AKTIVIS

“Mereka ini senyap ketika saya bagi taklimat tetapi habis sahaja sesi itu, aktivis NGO itu jumpa saya secara peribadi mungkin malu cerita secara terbuka beramai-ramai.

“Daripada perbincangan ‘dari hati ke hati’ itu, barulah terbongkar banyak kisah rahsia kenapa mereka aktif bising marah Jakoa dan hasut Orang Asli membenci kerajaan,” katanya.

Katanya, meskipun agak terkejut dan tidak menjangka mengenai perkara itu, beliau bersikap terbuka dan lapang dada kerana tidak mahu pemikiran mereka dieksploitasi oleh pihak luar.

Pada masa sama, beliau sedih kerana ada sebuah suruhanjaya yang dilihat sengaja mahukan Orang Asli terus mundur dan hidup terbiar tanpa sebarang arus kemodenan sepatutnya.

Malah dalam nada kecewa, beliau mengakui pernah ‘bertekak’ dengan pegawai dari badan itu yang condong pemikiran mahu Orang Asli terus memakai cawat ditonton seperti muzium hidup.

“Kita sudah masuk abad ke-21 namun suruhanjaya itu mahu sisih Orang Asli macam gaya zaman sebelum merdeka tanpa kemudahan asas dan hidup berpindah-randah,” katanya.

Beliau menyifatkan tindakan mereka sebagai satu bentuk penghinaan padahal di negara maju contohnya New Zealand, masyarakat Orang Aslinya hidup moden seperti rakyat biasa lain.

Dianggarkan ketika ini terdapat lebih 220,000 individu Orang Asli yang meliputi tiga suku kaum utama iaitu Negrito, Senoi dan Melayu Proto dengan menetap di sejumlah 853 KOA. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN