34,316 polis alami obesiti

34,316 polis alami obesiti

AZMI ABU KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil serius masalah obesiti dalam kalangan warga polis berdasarkan faktor penampilan dan kecergasan dalam melaksanakan tugas.

Status terkini data dari Ca­wangan Kebajikan, Pusat Sari­ngan Kesihatan PDRM pada 2 November lalu mendapati, seramai 34,316 orang warga polis mengalami masalah berat badan berlebihan.

Jumlah itu meningkat berbanding statistik pada 2016, kira-kira 11,200 orang warga PDRM berada dalam kategori itu.

PEGAWAI

Memberitahu Utusan Malaysia, Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, jumlah itu terdiri daripada 26,421 pegawai pangkat rendah polis diikuti 3,364 orang pegawai kanan polis selain pegawai awam (4,261 orang).

“Statistik ini menunjukkan peningkatan 17.27 peratus.

“PDRM komited melaksanakan program weight loss anjuran Bahagian Latihan Jabatan Pengurusan bersama Majlis Sukan PDRM untuk memastikan statistik ini dapat diturunkan,” katanya di sini semalam.

Bagi mengatasi keadaan tersebut, kata beliau, pe­ngukuran BMI akan diambil kira PDRM sebagai komponen utama bagi tujuan saringan kenaikan pangkat, pengesahan pangkat atau lain-lain tugasan tertentu.

“Sebagai contoh, penugasan yang melibatkan keperluan kecergasan fizikal yang tinggi seperti Pasukan Gerakan Am (PGA), Unit Kereta Peronda (MPV) dan Rondaan Bermotosikal (URB) dan elemen operasi.

“Arahan ini sebenarnya sudah berkuat kuasa sejak 1 Janua­ri 2018,” jelasnya.

ELEMEN

Dalam pada itu, Azmi berkata, PDRM juga menetapkan Indeks Jisim Tubuh (BMI) dengan julat 18 hingga 28 sebagai salah satu elemen pemarkahan bagi Eksesais Kenaikan Pangkat berdasarkan penilaian berat badan dan BMI terutamanya pemilihan pegawai untuk Program Himpunan Bakat Future Eche­lon (FE).

“Selain itu, PDRM juga me­laksanakan program melalui kaedah penyeliaan dan pemantauan dalam Program ‘Trim & Fit’ termasuk program hari sukan, aktiviti kecergasan mingguan secara berkala dan program gaya hidup sihat di semua Kontinjen dan Formasi PDRM.

“Pelaksanaan program ini juga melibatkan ujian fizikal bagi Eksesais Pengambilan PDRM dan Eksesais Kenaikan Pangkat serta pengesahan pangkat,” ujarnya.

Azmi berkata, PDRM mengeluarkan arahan berkaitan perkara ini melalui Arahan Ketua Polis Negara Bil. 115/2016 Dasar Trim and Fit PDRM.

“PDRM membuat ketetapan dan sasaran bagi mengatasi masalah obesiti atau kesihatan dalam kalangan warga PDRM melalui kaedah penyeliaan oleh penyelia dengan melaksanakan Program ‘Trim & Fit’ ini.

“Program ini termasuk program hari sukan, aktiviti kecergasan mingguan dan program gaya hidup sihat di semua Kontinjen dan Formasi PDRM,” katanya.

Pada Januari lalu, keadaan fizikal seorang anggota polis yang mempunyai berat badan berlebihan menjadi perbahasan umum, susulan satu klip video tular di Twitter yang menunjukkan kepayahan anggota berkenaan untuk keluar dari kereta peronda kerana berperut boroi.

Beberapa pengguna Twitter turut menjadikannya bahan jenaka manakala beberapa yang lain mempersoalkan sama ada anggota polis yang mempunyai berat badan berlebihan mampu menangkap penjenayah.

Klip video TikTok berdura­si 45 saat itu disiarkan dan dikongsi secara meluas di media sosial. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×