Wartawan sambilan Utusan Malaysia, Kosmo! terima Anugerah Pendukung Seni Media Pahang - Utusan Malaysia

Wartawan sambilan Utusan Malaysia, Kosmo! terima Anugerah Pendukung Seni Media Pahang

SALEHUDIN Mat Rasad (kanan) menerima Anugerah Pendukung Seni (Media) pada majlis Anugerah Seni Budaya (ASB) Pahang di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Wartawan sambilan Utusan Malaysia, Kosmo!, Salehudin Mat Rasad menerima Anugerah Pendukung Seni (Media) pada majlis Anugerah Seni Budaya (ASB) Pahang di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang di sini malam semalam.

Pemilihan Salehudin sempena Program Menyemarakkan Seni Budaya ‘Moh Rodong-Rodong@JKKN Pahang itu bagi mengiktiraf sumbangan penggiat budaya dan wartawan yang menyebarluaskan kegiatan budaya dan kesenian negeri.

Ia dipilih berdasarkan integriti pembabitan selama hampir 40 tahun menulis pelbagai artikel yang mencungkil berkaitan seni budaya tradisi Melayu Pahang.

Selain itu, Salehudin aktif membantu mempromosikan acara-acara hiburan anjuran JKKN Pahang dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Ketika ditemui, Salehudin bersyukur ke hadrat Allah SWT dan berterima kasih kepada JKKN Pahang kerana mengiktiraf sumbangan pengamal media dalam mengangkat seni budaya tradisional Melayu Pahang.

“Antara berita yang menarik berkaitan beberapa seni budaya Melayu Pahang yang pupus dan hampir pupus antara permainan Tingkah Lesung, Hencang Buah Keras, Rebana Pahang dan Silat Lenggang Mak Janda,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Pada majlis anugerah tersebut, Salehudin menerima trofi, sijil penghargaan dan hadiah wang bernilai RM1,000.

Selain Anugerah Pendukung Seni (Media), turut disampaikan Anugerah Pendukung Seni (NGO) dimenangi Pertubuhan Kumpulan Kesenian Mahligai Budaya Kuantan.

Anugerah Tokoh Seni Budaya Negeri Pahang 2023 diraih penyanyi lagu Lemak Manis, Lagu Rakyat dan Syair, Roslan Madun, 71, menerima RM3,000, trofi dan sijil penghargaan.

Pada majlis itu, penggiat muzik tradisional asli, Abd. Razzak Abu Bakar, 75, dinobatkan penerima Anugerah Khas Juri Tokoh Sepanjang Zaman menerima hadiah RM2,000, trofi dan sijil penghargaan.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Leong Yu Man.

Salehudin yang juga Pengerusi Pertubuhan Silat Batin Bambu Rencong berkata, anugerah itu sebagai pengiktirafan bermakna kepada pengamal media dalam membantu agensi kerajaan memartabatkan industri seni budaya tradisi Melayu yang mempunyai estetika bernilai tinggi sekali gus melambangkan jiwa orang Melayu.

“Saya berterima kasih kepada JKKN Pahang atas penganugerahan yang bermakna ini. Kami selaku wakil media yang sentiasa membantu industri dan penggiat seni akan terus yang aktif berkarya.

“Industri Seni Budaya dan Seni Budaya Melayu dan pelbagai etnik mempunyai potensi besar menjadi tarikan pelancongan negara. Pelbagai cabang seni dan genre merangkumi teater, seni tari, muzik, permainan tradisional, seni berbahasa dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya