SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun akan mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan pasukan bolasepak Negeri Sembilan FC (NSFC) susulan laporan berlakunya tunggakan gaji melibatkan pemain pasukan tersebut.
Aminuddin berkata, pertemuan itu bagi membolehkan beliau mengetahui isu yang sebenar yang berlaku yang menyebabkan masalah tersebut.
“Saya akan berjumpa dengan pengurusan Negeri Sembilan FC dalam masa terdekat untuk melihat apa sebenarnya yang berlaku.
“Sepatutnya sebagai sebuah pasukan bola sepak, mereka sepatutnya kena sediakan budget, kerajaan negeri juga sudah banyak bantu, kita akan jumpa dan lihat apa masalahnya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Persidangan Kedua (Perasmian) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan pemain-pemain Negeri Sembilan masih belum menerima gaji masing-masing yang difahamkan bagi bulan Ogos dan September.
Perkara tersebut turut disahkan oleh ketua jurulatih Negeri Sembilan, K. Devan namun pihaknya yakin pengurusan kelab akan dapat menyelesaikan masalah itu dalam tempoh terdekat.-UTUSAN.