Jaga-jaga tiga penyakit yang meningkat akibat jerebu

Jaga-jaga tiga penyakit yang meningkat akibat jerebu

LING TIAN SOON mengadakan sidang akhbar di sebuah restoran di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tiga penyakit dilaporkan meningkat di negeri ini sejak Isnin lalu akibat cuaca jerebu yang melanda negara, termasuk beberapa lokasi di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, tiga penyakit itu ialah konjunktivitis (penyakit mata), URTI (masalah sistem pernafasan) dan asma.

Berdasarkan data Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) konjunktivitis meningkat kepada 45 kes dalam tempoh seminggu semasa jerebu berbanding 26 kes seminggu sebelum jerebu.

“Bagi kes URTI melibatkan selesema, pening dan sakit tekak, ia meningkat daripada 1,174 kes pada minggu ke-39 kepada 1,528 kes pada minggu lalu, peningkatan 30.1 peratus.

“Sementara itu, bagi asma pula, berlaku peningkatan daripada 52 kes seminggu sebelum jerebu kepada 82 kes seminggu sewaktu jerebu,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Tian Soon berkata, pesakit yang terjejas akibat keadaan jerebu di negeri ini meliputi pelbagai peringkat usia yang menerima rawatan sebagai pesakit luar, namun penyakit asma melibatkan golongan kanak-kanak.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) menjangkakan keadaan udara tidak sihat di Larkin, di sini dan Batu Pahat akan menjadi semakin buruk, namun kita berharap sebaliknya.

“Agensi kerajaan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan pengalaman dalam menguruskan pencemaran seperti jerebu, tetapi lebih penting orang ramai perlu menjaga kesihatan diri.

“Kurangkan aktiviti luar, pakai pelitup hidung dan mulut serta banyakkan minum air masak,  khususnya bagi golongan yang mempunyai masalah kesihatan,” jelasnya.

Berdasarkan aplikasi MyIPU, kualiti udara tidak sihat direkodkan di Larkin, Johor Bahru dengan bacaan 152, manakala Batu Pahat pula merekodkan bacaan 159 setakat pukul 3 petang ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya