MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Erik ten Hag mendakwa sepakan penalti kontroversi yang diberikan pada pertengahan babak pertama kepada pasukan lawan mengubah haluan perlawanan hingga menyebabkan pasukannya tumbang 0-3 kepada Manchester City.
Tegasnya, kekalahan di depan penyokong sendiri di Old Trafford itu boleh dielakkan jika pasukan pelawat tidak memperoleh sepakan penalti yang disudahkan Erling Haaland.
Bagaimanapun, dia tidak menyalahkan keadaan itu, sebaliknya mempertahankan pasukannya dalam landasan yang betul walaupun dimalukan di depan penyokong sendiri.
Beliau berkata, United bermain dengan baik dan mempertahankan barisan pemain yang dipilih dalam perlawanan tersebut walaupun ada yang beranggapan ia bukan susunan kebiasaannya.
“Kami bermain amat bagus pada babak pertama, kami bertahan dengan cemerlang. Kami ada peluang baik tetapi kami tidak memanfaatkannya. Kemudian sepakan penalti mengubah perlawanan,” katanya.
Dalam aksi kelmarin, Ten Hag memilih Jonny Evans di bek tengah bersama Raphael Varane dan Victor Lindelof di bahagian kiri dan Sergio Reguilon melengkapkan pertahanan United, namun masih gagal mengekang asakan jentera serangan City.
Pengendali dari Belanda itu terpaksa akur menyaksikan The Red Devil gagal meneruskan kemenangan selepas meraih enam mata dalam dua aksi Liga Perdana Inggeris bulan ini.
Selepas perlawanan tamat, Ten Hag masih tetap mahu mempertahankan barisan pertahanannya yang pada anggapannya bermain dengan baik.
Ini merupakan kekalahan kelima dalam 10 perlawanan Liga Perdana Inggeris musim ini sekaligus menyaksikan United merudum ke tangga kelapan, 11 mata ketinggalan berbanding pendahulu, Tottenham.
Sementara itu, ayam tambatan City, Erling Haaland meledak dua gol, selain sepakan penalti pada minit ke-29, dia turut membuat tandukan pada minit ke-49, sebelum Phil Foden mencetak jaringan ketiga pada minit ke-80.
Sebelum perlawanan bermula, pemergian legenda United Bobby Charlton sekali lagi diingati dengan kedua-dua pasukan dan penyokong bertafakur selama seminit di mana Charlton meninggal dunia pada usia 86 tahun pada minggu lalu. – Agensi/UTUSAN