PASIR SALAK: Tidak mahu terkesan dengan kos penanaman padi yang tinggi dan perlu menunggu sehingga enam bulan untuk mendapat hasil, seorang pesara kerajaan di Parit 3 C, Sungai Manik mengusahakan tanaman kontan di sebahagian tanah sawahnya.
Mohd. Saiful Hisham Mohd. Amir, 40, berkata, antara tanaman diusahakan ialah sayur-sayuran, jagung dan kelapa yang boleh menjana pendapatan dalam masa sebulan.
Menurut beliau, daripada tiga ekar tanah sawah dimilikinya, dia menggunakan seekar untuk tanaman kontan.
“Untuk mendapatkan hasil padi yang baik, kosnya tinggi iaitu untuk seekar sawah perlu modal sekurang-kurangnya RM1,200 dan kena tunggu antara empat hingga enam bulan untuk mendapatkan hasilnya.
“Ini menyebabkan saya tidak bergantung sepenuhnya kepada hasil padi, saya tanam juga tanaman kontan sebagai hasil sampingan dan hasilnya juga begitu baik dan cepat sebagai sumber pendapatan saya selepas bersara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kata Saiful, tanaman kontan lebih baik dari segi hasil berbanding padi kerana tanaman kontan boleh menjana pendapatan lebih cepat.
“Tanaman kontan kelapa sudah mengeluarkan hasil, selain dijual, dapat juga digunakan sebagai bahan untuk isteri saya membuat kuih.
“Buat masa ini saya menanam dua jenis kelapa iaitu benih yang dihasilkan Jabatan Pertanian.
“Saya bercadang nak tanam kelapa kampung kerana buahnya lebih besar dan harganya lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN







