KOTA BHARU: Kejadian kepingan konkrit dari bumbung Pasar Siti Khadijah di sini yang jatuh berhampiran salah satu premis perniagaan kelmarin memberi ‘isyarat’ tahap keselamatan perlu di dipertingkatkan dan diselenggara dengan baik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr. Hafidzah Mustakim berkata, kedua-dua aspek tersebut kini sudah menjadi keperluan mendesak kerana ia melibatkan soal keselamatan peniaga dan pengunjung di pasar berkenaan.
Menurutnya, ia memerlukan tindakan segera daripada pihak berwajib kerana lokasi itu merupakan pusat kegiatan ekonomi dan ikon pelancongan negeri.
“Syukur kerana tidak berlaku kemalangan jiwa atau kecederaan ketika kejadian itu tetapi jelas sesuatu perlu dilakukan demi keselamatan peniaga, pengunjung dan pelancong di pasar ikonik ini.
“Saya sudah mendapatkan pandangan perunding kejuruteraan yang memaklumkan ia mungkin berpunca daripada sisipan air yang menyebabkan besi penyokong konkrit berkenaan reput sehingga berlaku kejadian itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dr. Hafidzah memberitahu, satu pertemuan segera akan diatur dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menyelesaikan masalah tersebut.
Katanya, langkah segera itu perlu diambil secepat mungkin demi kebaikan semua pihak di pasar yang mengumpulkan lebih 1,000 peniaga dengan 90 peratus daripadanya adalah kaum wanita itu.
“Pada awalnya kita ingat isu di sini hanya melibatkan imej dan infrastruktur asa seperti lift dan sebagainnya. Rupa-rupanya ada lagi masalah berkaitan perkara-perkara asas terutamanya yang perlu diberikan perhatian.
“Paling utama melibatkan keselamatan contohnya penyelenggaraan bumbung termasuk kebocoran yang menyebabkan aliran air memasuji fius elektrik dan boleh menyebabkan litar pintas pada bila-bila masa,” ujarnya.
Dr. Hafidzah berkata, perkara ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak kerana ia memerlukan bentuk penyelenggaraan holistik dengan perancangan bersepadu dan berjangkamasa panjang.
“Saya tidak akan menunggu sehingga sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membawa perkara ini ke tengah dan akan mengadakan beberapa perbincangan dengan PBT bertanggungjawab menguruskan pasar ini.
“Di pihak saya sendiri, saya akan berbincang dengan Jabatan Pembangunan Persekutuan (ICU) kerana kita berharap akan ada penglibatan lebih besar daripada pihak kerajaan persekutuan berhubung perkara ini,” ujarnya.-UTUSAN










