Surau di penempatan Orang Asli di Perak, Kelantan tiada imam - Utusan Malaysia

Surau di penempatan Orang Asli di Perak, Kelantan tiada imam

SEBUAH surau untuk kemudahan penduduk Orang Asli beragama Islam di Pos Gob, Gua Musang, Kelantan yang terbiar kerana tiada imam. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Masyarakat Orang Asli di daerah ini dan Gua Musang di Kelantan mendakwa surau-surau di kawasan penempatan mereka sepi kerana tiada imam.

Di Perak, Tok Batin Kampung Bawong, Jeffridi Abas berkata, difahamkan hanya 12 surau daripada kira-kira 30 kampung Orang Asli dari Bawong ke Kuala Mu di sini ada imam tetap manakala baki surau-surau lain didakwa tiada imam.

“Lebih 80 peratus penduduk Orang Asli di kampung-kampung dari Bawong ke Kuala Mu beragama Islam dan mereka perlu diberi perhatian dalam aspek mendirikan solat di surau di penempatan mereka.

“Saya bimbang jika tiada imam di surau-surau di kampung mereka, siapa yang hendak memimpin mereka untuk mendirikan solat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jeffridi yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Masjid Kampung Orang Asli Bawong berkata, beliau pernah mencadangkan kepada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) supaya masjid-masjid besar di bandar menjadikan surau di kampung Orang Asli sebagai surau angkat.

KUKUH

Beliau berkata, menerusi cara itu, masjid di bandar besar dan mempunyai kewangan kukuh memberi sumbangan bulanan kepada imam yang dilantik di surau-surau kampung Orang Asli untuk memastikan surau sentiasa diimarahkan.

“Cadangan diterima oleh JAIPk, namun mungkin disebabkan kekangan tertentu ia tidak dapat dilaksanakan. Kadangkala imam surau kampung Orang Asli ada, tapi hanya bertugas semasa solat Maghrib dan Isyak kerana siang hari mereka bekerja,” katanya.

Katanya, untuk melahirkan imam dalam kalangan Orang Asli, JAIPk dengan kerjasama Masjid Bawong dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawong di sini melaksanakan program melahirkan imam muda dalam kalangan pelajar Orang Asli.

Katanya, menerusi program itu, seramai 15 pelajar Orang Asli dari SMK Bawong, iaitu sekolah menengah berprasarana lengkap untuk pelajar Orang Asli yang pertama di negara ini, mengikuti program agama bagi melatih mereka menjadi imam.

Sementara itu, katanya, antara yang menggembirakan adalah beberapa buah surau di kampung Orang Asli dari Bawong ke Kuala Mu sudah diberi kebenaran mendirikan solat Jumaat.

“Terbaru ialah surau di Kampung Kuala Mu, yang mula didirikan solat Jumaat pada minggu lalu. Saya difahamkan ada beberapa lagi surau yang diberi kebenaran untuk mendirikan solat Jumaat,” katanya.

GUA MUSANG

Di Kelantan, lebih 20 surau di penempatan Orang Asli di Gua Musang didakwa terbiar apabila guru agama yang dilantik agensi agama tidak berfungsi dan kurang memainkan peranan untuk ‘menghidupkan’ aktiviti keagamaan.

Mendedahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, sumber berkata, daripada jumlah tersebut, hanya tiga buah surau dilihat aktif apabila kerap mengadakan akti­viti keagamaan termasuklah solat Jumaat iaitu di Pos Hendrop, Pos Tuel dan Pos Balar.

“Kebanyakan guru-guru agama lantikan dua agensi agama tidak menjalankan peranan.

“Disebabkan itu kebanyakan surau di penempatan Orang Asli terutamanya di kawasan pedalaman terbiar daif,” katanya ketika dihubungi.

Difahamkan, terdapat lebih 100 guru agama dilantik dua agensi berkenaan untuk membantu Orang Asli yang beragama Islam.

Katanya, lebih separuh daripada bilangan guru agama itu adalah dalam kalangan masyarakat Orang Asli sendiri.

“Jika melihat kepada keadaan surau di kawasan pedalaman, amat menyedihkan. Sebagai contoh keadaan surau di Kampung Aring 5 dan Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, dikatakan terbiar begitu sahaja.

“Saya berharap guru agama yang dilantik menjalankan tanggungjawab bagi membantu saudara baharu Orang Asli dan menghidupkan aktiviti keagamaan di kawasan surau atau masjid yang telah dibina,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×