GUA MUSANG: Kerajaan mengajak semua pihak termasuk institusi baitulmal berganding bahu membantu menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sasaran itu selari hasrat yang telah digerakkan oleh kerajaan pada ketika ini.
“Oleh itu, kita turut mengharapkan kerjasama daripada baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar dapat merealisasikan perkara ini.
“Bagaimanapun, setiap tahun akan wujud masyarakat daif dan asnaf sebab garis kemiskinan itu akan bertambah berdasarkan kepada kos sara hidup,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Kelantan di Taman Etnobotani Gua Musang di sini, semalam.
Ahmad Zahid memberitahu, bagaimanapun beliau berharap semua pihak tidak mempolitikkan isu itu kerana kemiskinan berlaku di seluruh negara di dunia ini.
Katanya, semua pihak perlu istiqamah dalam menjayakan hasrat kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar.
“Pada tahun ini seramai 130,000 isi rumah dikategorikan sebagai miskin tegar. Bagaimanapun semasa pembentangan belanjawan jumlah itu telah turun kepada 18,000 isi rumah,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat kelmarin berkata, sebanyak RM500 juta disediakan untuk meningkatkan penyertaan lebih ramai rakyat miskin tegar mengikuti program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bagi menambah pendapatan mereka. – UTUSAN









