PETALING JAYA: Enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam industri rokok elektronik akan menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mendakwa disisihkan Kementerian Kesihatan.
Enam NGO tersebut adalah Malaysia E-Vaporizers and Tobacco Alternative Association (MEVTA), Malaysia Retail Electronic Cigarette Association (MRECA) dan Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA).
Selain itu, Malaysia e-Liquid Brewers Association (MEBA), Persatuan Peniaga Vape Melayu (PPVM) dan Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM).
Dalam kenyataan bersama, mereka yang mewakili lebih 50,000 usahawan dalam industri vape yang majoritinya Melayu dan bumiputera terkilan dengan tindakan itu.
Mereka mendakwa, tidak ada penerangan dan perbincangan terperinci daripada kementeriandengan pemain industri sebelum Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 atau RUU Generasi Penamat (GEG) dibentangkan.
“Kami merasakan tindakan kementerian berat sebelah dan tidak wajar kerana kami tidak dimaklumkan tentang isi kandungan RUU yang bakal dibentangkan.
“Kami memohon agar pembentangan RUU untuk bacaan kedua ditangguhkan bagi memberi ruang untuk sesi libat urus secara menyeluruh antara pihak kerajaan dengan pemegang taruh bagi membentuk RUU yang lebih adil dan bersesuaian untuk semua pihak.
“Justeru, kami ingin menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri agar suara industri mendapat perhatian dan dipertimbangkan oleh beliau,” katanya. – UTUSAN










