PETALING JAYA: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky sedang menggarap ramuan terbaik untuk membina fizikal perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong supaya tampak lebih menggerunkan di dalam gelanggang.
Rexy menjelaskan Tze Yong sudah mempunyai tahap teknikal yang tinggi untuk menumbangkan mana-mana pencabar hebat di dunia, namun kekurangan dari segi faktor fizikal.
Kelemahan jelas menghantui Tze Yong apabila dia terpaksa akur tunduk kepada pemain China, Li Shi Feng di pentas separuh akhir Terbuka Perancis setelah tewas dengan keputusan 17-21, 12-21.
“Setakat ini prestasi Tze Yong di Sukan Asia, Finland dan Perancis sangat bagus tetapi masih belum cukup untuk berlawan secara konsisten dengan pemain-pemain dalam kelompok ranking lebih tinggi.
“Dari segi teknik dan permainan, dia langsung tidak ada sebarang masalah tetapi masih kurang dari segi fizikal, terutamanya pada kekuatan kaki yang belum betul-betul kuat.
“Sekiranya dia dapat menangani masalah ini, saya yakin dia akan bersedia sepenuhnya untuk berdepan mana-mana sahaja pemain terbaik dunia dalam mana-mana kejohanan akan datang,” jelas Rexy.
Tze Yong akan meneruskan siri jelajah Eropahnya yang terakhir minggu ini apabila akan bersaing di Terbuka Hylo, Jerman. – UTUSAN










