PETALING JAYA: Peperangan Israel dengan Palestin mendorong ramai rakyat negara ini membatalkan rancangan untuk mengerjakan umrah di samping melawat Palestin.
Satu sumber agensi pelancongan umrah mengesahkan kepada Utusan Malaysia ramai jemaah umrah yang mengambil pakej melawat ke Palestin telah menarik diri.
“Sekarang kami sedang cuba menghubungi jemaah berkenaan pakej lawatan umrah dan lawatan ke Palestin, sebab ramai yang tarik diri secara tiba-tiba,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Kata sumber itu, pihaknya juga ada menawarkan pertukaran pakej ke Jordan bagi mengurangkan kos kerugian syarikat sekiranya jemaah menarik diri.
“Rata-rata jemaah yang menghubungi pihak kami semua bertanyakan kepastian berkenaan pergolakan di Palestin, walaupun penerbangan ke sana pada Februari, jadi daripada situ pihak kami cuba pujuk jemaah,” katanya.
Sejak beberapa hari lalu, dunia dikejutkan dengan peperangan di Gaza yang berpunca serangan udara Israel menyebabkan ratusan orang awam termasuk bayi dan kanak-kanak terbunuh.
Dalam pada itu, satu sumber dari agensi pelancongan yang dihubungi berkata, pihaknya masih belum menerima panggilan daripada pelanggan untuk menarik diri menyertai lawatan ke Palestin melalui agensinya.
“Setakat ini, kami belum terima apa-apa penarikan dari jemaah kami, tapi pihak kami akan bersedia dengan segala kemungkinan dan sedang memikirkan alternatif lain untuk mengelakkan kerugian,” katanya.
Sumber mengatakan, sekiranya pihak mereka belum menerima sebarang penarikan diri, program untuk melawat ke Palestin akan diteruskan.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan angka korban di Semenanjung Gaza meningkat kepada 687 orang ketika Israel menyerang sasaran Hamas untuk hari ketiga berturut-turut. – UTUSAN










